PBS mahu kerajaan beri perhatian serius hak Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu tiga isu utama dikemukakan parti itu menerusi memorandum kepada Jawatankuasa Negeri Sabah mengenai Hak-Hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia dan memo kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi perhatian serius, kata Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin berkata isu utama dikemukakan itu merupakan hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merangkumi Borneonisasi dan penurunan kuasa selain memasukkan sejarah pembentukan Malaysia ke dalam sukatan pelajaran di sekolah.

“Kami berhadap cadangan, keluhan dan ketidakpuasan hati dikemukakan kepada jawatankuasa bersama di peringkat Persekutuan akan diberi perhatian serius,” katanya dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-32 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di Penampang, Sabah hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN). Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman merangkap Pengerusi BN Sabah serta Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan air.

Pairin berkata meskipun pelantikan pegawai kanan perkhidmatan awam persekutuan dalam kalangan rakyat Sabah semakin baik, namun beliau mahu lebih ramai lagi rakyat Sabah mengisi jawatan itu termasuk dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan universiti tempatan di Sabah atau Semenanjung.

Rakyat Sabah dalam Skim PTD

“Ini adalah bersesuaian dengan jaminan Borneonisasi sekali gus sejajar dengan matlamat asal Persekutuan Malaysia dalam MA63,” katanya, dan menambah, sudah tiba masa lebih ramai rakyat Sabah dilantik dan diserapkan ke dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, tentera serta polis,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata jawatankuasa PBS telah mengkaji perkara dijanjikan dalam MA63 mengenai isu pengagihan kuasa selain mencadangkan tindakan pemulihan bagi menyemak semula hak-hak sepatutnya dinikmati Sabah termasuk berkaitan sistem pentadbiran mahkamah tinggi di Sabah dan Sarawak.

PBS juga mahu kerajaan Persekutuan mempertimbang menambah baik dan memperincikan maklumat sejarah pembentukan Malaysia dalam silibus pendidikan negara merangkumi Laporan Suruhanjaya Cabbold; 20 perkara Sabah dan 18 perkara Sarawak, Jawatankuasa Antara Kerajaan dan MA63, katanya.

Menurutnya, fakta berhubung pembentukan Malaysia dalam buku teks sejarah sekolah sedia ada sekarang terlalu ringkas, dan dengan penambahbaikan tersebut generasi akan datang lebih memahami serta menghargai pembentukan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Pairin berkata, PBS turut mengalu-alukan serta menyokong segala usaha pelbagai pihak khususnya daripada parti komponen BN untuk memulihkan kembali hak-hak rakyat Sabah seperti ditetapkan dalam MA63.


Pairin berkata rakyat Sabah boleh membincangkan isu MA63 secara terbuka semasa pentadbiran Najib, namun, perkara itu berbeza ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar, atas) kerana MA63 dianggap sensitif dan rakyat Sabah merasa takut membincangkan perkara itu kerana tindakan akan diambil dengan menahan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Pada masa itu, tiada tempat dan peluang membincangkan isu (MA63) secara terbuka. Namun, PBS berterima kasih kepada perdana menteri (Najib) kerana beliau bukan sahaja menghapuskan ISA, malah bersedia mendengar keluhan atau kebimbangan rakyat Sabah jika ada mana-mana peruntukan perjanjian Malaysia yang disalahtafsirkan.

PBS juga yakin dan percaya perdana menteri (Najib) tidak akan mengabaikan atau mengendahkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia malah perdana menteri sentiasa prihatin untuk menangani isu berkenaan secara aman menerusi perundingan,” katanya.

Dalam pada itu, Pairin turut mempersoal tindakan Dr Mahathir yang secara tiba-tiba berjanji akan mengkaji isu itu pada masa sekarang sedangkan ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri selama 22 tahun beliau tidak pernah berbuat demikian.

“Kenapa beliau tidak mengambil tindakan semasa berkuasa? Ini membuktikan bahawa agenda utama Dr Mahathir adalah untuk membantu parti pembangkang memancing undi pada pilihan raya umum akan datang. Saya tidak percaya beliau jujur dalam perkara ini,” katanya.

 

-Bernama
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password