‘Patik akan pertahan pemerintahan Perak yang bersultan’

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini berkata wujud unsur dakyah yang memperlekehkan keutuhan institusi kesultanan di negara ini.

Beliau berkata berkata penghinaan yang dibuat terhadap institusi kesultanan itu dibayangi dan diwarnai siasah yang melampau dalam cubaan untuk memansuhkan institusi raja-raja daripada pemerintahan.

“Sehubungan itu, pentadbiran patik serta seluruh jajarannya akan mempertahankan kemuliaan dan pemerintahan Perak Darul Ridzuan yang bersultan sesuai dengan pegangan Negeri Bersultan, Rakyat Beraja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan bersempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-61 Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam ucapannya, Zambry berkata sepanjang lima tahun kebelakangan ini, pelbagai pencapaian dan pembangunan ikthisas berjaya diraih seiring dengan pertumbuhan negeri iaitu pada kadar 4.1 peratus bagi tahun 2016.

Beliau berkata antara pencapaian itu termasuk pembangunan 40,000 unit rumah mampu milik melalui kerajaan dan swasta, peluang pekerjaan kepada anak negeri melalui program pemadanan kerja Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) dan program dermasiswa yang membantu golongan berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Pertama kali juga dalam sejarah pentadbiran negeri ini, apabila 15 daripada 20 agensi negeri dikurniakan taraf lima bintang, iaitu tahap kecekapan pentadbiran tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Bagi memastikan prinsip keterangkuman dilaksanakan dalam negeri, Dewan Belia Negeri dan Majlis Perundingan Mahasiswa menjadi pentas buat anak muda mencerna idea dan melontarkan cadangan untuk memperkasakan negeri.

“Selain itu, melalui Dialog Pangkor juga, kalangan ilmuan dan berkepakaran dihimpunkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara forum yang membicarakan Matlamat Pembangunan Mapan di dunia,” katanya. -Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password