Pasukan perubatan sedia berlepas ke Bangladesh

Kementerian Kesihatan bersedia untuk menghantar sekitar 50 hingga 60 kakitangannya ke Bangladesh, bagi membantu membina hospital lapangan untuk pelarian Rohingya, kata Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, pasukan yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang itu masih belum ke Bangladesh, tetapi bersedia untuk berbuat demikian pada bila-bila masa.

“Kita akan lihat berapa lama mereka diperlukan (di Bangladesh). Jika tempoh masanya lama, mungkin kita akan hantar mereka secara bergilir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Deepavali MIC di Batu Caves, hari ini.

Katanya, kerajaan kini sedang menunggu cadangan daripada kerajaan Bangladesh berhubung lokasi bagi hospital yang menelan belanja RM3.5 juta itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan telah mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina.

Hospital itu akan dibina Angkatan Tentera Malaysia. Ia akan beroperasi sebulan selepas siap dibina dan pada peringkat awal akan menyediakan 50 katil.

Namun, Zahid dilaporkan berkata yang hospital itu hanya akan dikendalikan oleh 35 kakitangan perubatan.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password