PAS-IKATAN wujud Pemuda Gagasan Sejahtera

Selepas setahun PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menjalinkan kerjasama politik dalam Gagasan Sejahtera, hari ini gabungan itu mengumumkan pergerakan sayap pemudanya yang dikenali sebagai Pemuda Gagasan Sejahtera.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abd Hadi berkata pertemuan rasmi yang diadakan bersama pemuda IKATAN hari ini antara lain merangka anggota jawatankuasa gabungan itu.

“PAS dan IKATAN adakan pertemuan yang merupakan pertemuan pertama kami capai persetujuan antaranya capai penubuhan dan pembentukan pemuda Gagasan Sejahtera.

“Kami pemuda bersetuju bentuk Jawatankuasa Pemuda Gagasan Sejahtera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Gagasan Sejahtera ditubuhkan pada Ogos 2016, ia menawarkan suatu pilihan yang dikatakan lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan sebuah budaya politik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

Selain itu, Khalil berkata Pemuda Gagasan Sejahtera akan mengadakan konvensyen mereka pada 24 Februari tahun depan, di lokasi yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, konvensyen itu akan mengumpulkan kepimpinan daripada pemuda Gagasan Sejahtera, pertubuhan-pertubuhan NGO yang mewakili semua aspek skop masyarakat yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu dalam negara

“Kami juga setuju merangka beberapa program utama antaranya jelajah negeri atas nama Pemuda Sejahtera dan melibatkan kepentingan bersama berasaskan dasar-dasar utama kepada negara khususnya melibatkan perlembagaan.

“Kami akan bergerak atas satu nama Pemuda Gagasan Sejahtera dan disusuli tindakan-tindakan dan program-program berkait,” katanya.

Sidang media itu (gambar, bawah) turut dihadiri Ketua Pemuda IKATAN Shahir Adnan, Timbalan Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dan Penolong Setiausaha III Hubungan Luar dan Diplomatik Pemuda PAS Muhd Khidir Din.

Sementara itu Shahir berkata kewujudan mereka bertujuan membawa Malaysia ke arah yang lebih baik serta memperbaiki kerosakan yang ada.

“Kami nak baiki kerosakan yang berlaku dalam negara dan bawa cadangan serta bawa isu itu dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Khalil diumumkan sebagai pengerusi Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera manakala Shahir pula adalah timbalannya.

Sementara itu Khalil menafikan PAS semakin ‘membisu’ dalam mendepani isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat sebaliknya parti Islam itu mempunyai cara tersendiri selaras dengan pegangan ‘gagasan politik matang dan sejahtera’ yang diamalkannya.

“Satu tindakan tak perlukan sikap yang agresif tetapi yang lebih penting adalah tindakan yang matang.

Tindakan matang lihat pada suasana, keadaan

“Tindakan yang matang ini ada ketika kita perlu diam, ada ketika kita perlu respon, ada ketika kita perlu berbincang dan penyelesaian ada yang boleh kita buat terus dan ada memerlukan masa, jadi kita lihat pada suasana dan keadaan,” katanya.

Khalil berkata demikian bagi mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan bahawa PAS kini makin ‘senyap’ tatkala berhadapan dengan isu melibatkan kepentingan rakyat.

Mengambil isu kenaikan harga minyak misalnya, Khalil berkata, PAS bercakap soal tersebut sejak sebelum penubuhan Pakatan Rakyat lagi.

“Kita bercakap soal isu minyak sejak dulu lagi…. sebelum ada Pakatan Rakyat dan kita dah cakap isu kos sara hidup ini bukan kali pertama cuma kita ada penyelesaian kita sendiri sepertinya yang saya sebut tadi,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password