PAS bantah permohonan baru pesta arak


PAS hari ini membantah usaha penganjur Better Beer Festival 2017 untuk memindahkan acara itu ke Selangor selepas tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata bantahan itu dibuat selepas penganjur membuat permohonan baru kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Ada permohonan (kepada MBPJ), tapi kita dimaklumkan permohonan itu belum lengkap dari segi prosedur.

“Antara prosedur yang diperlukan melibatkan kelulusan pihak polis dan Jabatan Kastam,” kata Khairuddin kepada pemberita di lobi ibu pejabat MBPJ, hari ini.

Ditanya sama ada permohonan baru itu dibuat sebagai tindakan provokasi, Khairuddin berkata ia terpulang kepada tafsiran media namun tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Kamu boleh tafsirnya sendiri tapi kalau nak cakap tidak menolak kemungkinan itu boleh jadi,” kata Khairuddin.

Terdahulu, PAS mengadakan pertemuan dengan pihak MBPJ selepas mendapat maklumat bahawa penganjur pesta arak itu membuat permohonan baru bagi mengadakan acara berkenaan di 1Utama, Bandar Utama Petaling Jaya.

Pada pertemuan tersebut Khairuddin turut menyerahkan memorandum bantahan daripada Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Sementara itu, Azizi dilapor berkata, permohonan yang diterima pada pertengahan bulan ini tidak dapat diproses kerana kegagalan penganjur mendapatkan surat sokongan polis dan Jabatan Kastam.

Katanya, acara tertutup yang masuk lebih lima tahun penganjurannya itu perlu mengikut garis panduan yang sama iaitu jaminan dan sokongan daripada polis atas faktor keselamatan manakala kastam bagi minuman keras.

“Kelulusan penganjurannya sebelum ini dibenarkan atas aspek yang sama. Jadi pada tahun ini kita menjangkakan perkara yang sama sudah sedia maklum oleh pihak penganjur sebelum meneruskannya.

“Buat masa ini pihak MBPJ tidak dapat membuat apa-apa keputusan berhubung kelulusan acara itu yang akan mengambil tempat di pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama pada 5 hingga 8 Oktober depan,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password