Parti minoriti sekali lagi mohon sertai HARAPAN

Parti Generasi Baru (NewGen) sekali lagi menyatakan hasratnya untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN), kali ini dengan janji untuk meningkatkan undi masyarakat India sebanyak 15 peratus kepada mereka dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Presidennya, Rajaretinam Armuggan berkata hasrat itu disampaikan dalam pertemuan dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Katanya, parti itu telah membuat analisis menyeluruh bagaimana peralihan undi masyarakat India akan memberi impak pada PRU akan datang.

“Kami telah sampaikan hasrat kenapa kami harus diterima sebagai rakan kelima dalam HARAPAN. Pada asasnya Tun Dr Mahathir faham hasrat kami dan bersetuju untuk membawanya ke mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN.

“Penyertaan Parti NewGen akan membolehkan peralihan undi, dan kita percaya akan ada peralihan pengundi khususnya masyarakat India yang boleh menjanjikan kejayaan kepada HARAPAN,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Parti itu sebelum ini cuba menjenamakan semula sebagai Parti Bebas Rasuah selepas penyertaan bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor, yang kemudiannya keluar daripada parti itu Julai lalu.

Pada 23 September lalu, mereka mengumumkan akan menukar nama kepada Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) dan menyatakan hasrat untuk menjadi ahli HARAPAN.

Beberapa hari kemudian, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata Majlis Presiden HARAPAN akan membincangkan perkara itu, tetapi tiada perkembangan lanjut sehingga kini.

Mengulas lanjut, Rajaretinam menyatakan keyakinannya yang parti itu dapat merealisasikan hasrat HARAPAN untuk menawan Putrajaya, dan memberi jaminan tidak akan merebut mana-mana kerusi.

Beliau juga mendakwa Mahathir mengakui parti itu diperlukan dalam HARAPAN, namun tetap perlu dibincangkan dengan parti komponen lain terlebih dulu.

“Kami yakin HARAPAN sangat memerlukan Parti NewGen. Hasrat kami murni, untuk aspirasi, keperluan dan keluhan masyarakat India dapat disalurkan dengan baik dalam HARAPAN,” katanya lagi.
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password