Parah Kena Tetak Sebab Tegur Muzik Kuat

Satu tragedi berdarah telah berlaku di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam di mana seorang remaja cedera parah di bahagian belakang dan kepala akibat ditetak selepas dia dipercayai menegur dua orang lelaki memasang muzik terlalu kuat.

Memetik laporan Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kejadian berlaku pada jam 2.05 pagi apabila mangsa berusia 17 tahun diserang kira-kira 15 lelaki di kawasan perumahan itu.

Beliau turut memberitahu kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan menasihati dua suspek memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan pembesar suara kereta mereka yang di parkir di kawasan flat.

“Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal.

“Sekumpulan lelaki kira-kira 15 orang mengerumuni mangsa. Beberapa suspek membawa parang dan pisau menyerang mangsa menyebabkan kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam juga memberitahu bahawa semua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat berkenaan.

“Mangsa yang cedera parah dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dirawat di wad dan kini di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata),” katanya.

Katanya, sehingga ini belum ada tangkapan dan pihak polis sedang giat memburu suspek.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online



Sumber : SiakapKeli

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password