PAKEJ BAJA MELELEH – HARIAN METRO – 23/11/17

Artikel Oleh : HARIAN METRO

http://www.hmetro.com.my

Dua kaedah digunakan sindiket bagi ‘mencuri’ baja dan racun subsidi, iaitu dengan menjual bahan yang dibekalkan kerajaan secara percuma itu kepada pesawah dan mengemukakan tuntutan palsu. Ketirisan subsidi itu dipercayai berlaku di pelbagai peringkat pengurusan yang ‘meleleh’ dalam rantaian ‘habuan’ daripada setiap beg baja dibekalkan kepada pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)

Metro Harian ( pekej baja meleleh ) 23.11.17

Metro ( seleweng bantuan kerajaan ) 23.11

Pakej jual baja dan racun subsidi serta buat tuntutan palsu. Itu antara dua kaedah penyelewengan sindiket yang menyalahgunakan bantuan diberikan kerajaan untuk mengaut untung mudah berjumlah lebih RM80 juta sejak enam tahun lalu.

Bermula daripada borang permohonan subsidi pesawah, sehinggalah kepada jumlah baja yang disediakan pembekal, wujud rantaian yang mendapat ‘habuan’ daripada setiap beg baja yang dibekalkan kepada pesawah menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendapat aduan daripada orang ramai selepas menyedari wujud ketirisan subsidi sehingga baja yang dikhususkan untuk pesawah tempatan dikatakan turut dijual sehingga ke negara jiran.

Penasihat Khas PPIM Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, ada individu atau kumpulan yang menjual baja subsidi terbabit pada harga RM5 hingga RM30 setiap beg seberat 20 kilogram untuk kegunaan pihak ketiga.

Katanya, pihaknya mempunyai bukti dan maklumat tepat mengenai kegiatan itu yang berlaku di beberapa kawasan khususnya di lokasi penanaman padi di negara ini membabitkan jumlah kerugian puluhan juta ringgit.

“Dalam subsidi kerajaan, peruntukan baja dan racun ini hampir RM500 juta setahun dan dalam bajet baru-baru ini pun dibentangkan.

“Persoalannya, apakah ia sampai kepada golongan sasaran iaitu pesawah, jawapannya tidak.

“Kalau sampai, isu ini tidak akan timbul. Kita bukan bercakap kosong, tetapi kita buat kajian dan ada bukti wujud pihak mendapat untung mudah menggunakan subsidi yang diberikan kerajaan kepada pesawah di seluruh negara. Sampai lebih RM80 juta iaitu kira-kira 20 peratus daripada peruntukan keseluruhan, ini tidak patut berlaku,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Abdul Kadir berkata, hasil siasatan, ketirisan berlaku di dua peringkat iaitu PPK dan pesawah.

“Kita bukan buat tuduhan tetapi ini yang berlaku. Ada PPK buat tuntutan lebih daripada apa yang diperlukan pesawah.

“Berlaku ketirisan, penyelewengan yang sangat besar, kita dimaklumkan, memang berlaku di PPK. Saya tidak mahu sebut PPK mana tetapi ketirisan itu ada. Apa yang berlaku PPK itu sendiri membuat tuntutan baja lebih daripada apa yang diperlukan pesawah. Pesawah perlukan 200 beg, tapi PPK minta dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 250 beg.

“Di situ sendiri berlaku ketirisan 50 beg. Itu baru satu kawasan. Macam yang saya kata tadi, benda ini sudah berlaku di banyak kawasan sejak lima hingga enam tahun yang lalu. Ini adalah satu kes yang sangat serius kerana yang kita dapati kerugian besar daripada subsidi kerajaan RM500 juta itu,” katanya.

Beliau yang juga bekas Penasihat Kementerian Kewangan berkata, bagi tanaman padi seluas 0.28777 hektar, pesawah memerlukan antara empat hingga enam beg baja setiap musim, namun ada yang hanya menggunakan satu hingga dua beg saja manakala selebihnya dijual kepada pihak ketiga.

Katanya, baja yang dibekalkan kerajaan terdiri daripada dua jenis iaitu urea dan baja tambahan adalah berkualiti tinggi dan pada masa sama, baja urea juga boleh digunakan untuk membaja kelapa sawit, menyebabkan wujud permintaan di pasaran.

“Ini yang tidak betul kerana ia akan menjejaskan pengeluaran padi dan merugikan pesawah itu sendiri. Tetapi mungkin kerana ‘gelap mata’, mereka sanggup menjual kepada pihak lain dengan harga yang murah kerana ia diberi secara percuma,” katanya.

Justeru katanya, PPIM akan membawa isu ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam masa terdekat kerana ia membabitkan sejumlah besar wang negara yang dibelanjakan secara tidak berhemah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

PAKEJ BAJA MELELEH – HARIAN METRO – 23/11/17 was last modified: November 23rd, 2017 by Hafizi



Sumber : PPIM

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password