P Pinang umum sumbangan RM100,000 mangsa banjir Kelantan

 

Ekoran hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Kelantan sejak tiga hari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengumumkan sumbangan RM100,000 bagi membantu rakyat Kelantan yang terjejas.

“Kita berdoa agar cuaca di Kelantan tidak akan menjadi lebih buruk. Sebagai negeri yang pernah dilanda bencana baru-baru ini, saya berharap agar rakyat di Kelantan dapat bertabah hati dan sabar,” katanya.

Menurut Lim, RM50,000 daripada jumlah itu bakal disalurkan kepada kerajaan Kelantan, manakala selebihnya akan diserahkan kepada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.

Pengumuman Lim itu dibuat tidak sampai sebulan selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada Pulau Pinang yang turut dilanda banjir pada 4 dan 5 Nov lalu.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang juga pernah menyalurkan bantuan lebih RM1 juta kepada Kelantan apabila negeri itu dilanda banjir besar pada 2014.

Hubungan kedua-dua kerajaan negeri itu yang masing-masing diterajui PAS dan DAP renggang selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akhirnya menyaksikan Pakatan Rakyat terkubur.

Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan sehingga 5 petang tadi mencecah 11,341 orang dengan hujan dilaporkan kadangkala lebat masih berlaku di beberapa kawasan di negeri itu.

Kesemua mangsa ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password