ORANG TENGAH KAUT UNTUNG – UTUSAN ONLINE – 27/11/17

Orang tengah kaut untung Nasional Utusan Online

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Peranan orang tengah dalam urusan jual beli tidak dinafikan menjadi punca kenaikan harga barang di pasaran yang mencecah hampir 90 peratus ketika ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang tengah yang berperanan sebagai penghubung antara pengeluar dengan pengguna mengambil keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan beban kos yang harus ditanggung oleh pengguna.

“Saya tengok cili sekarang ini dijual mencecah hampir RM20 seki­logram mengikut faktor cuaca, tapi di peringkat pengeluar atau petani, cili dijual sekitar RM1 atau RM2 sahaja sekilogram.

“Hal ini sangat berbahaya kera­na mereka ini menaikkan barang sesuka hati dan kenaikan yang bukan sedikit itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi rakyat terutamanya golongan bawahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan pasukan khas mengkaji harga barangan di pasaran supaya tidak melebihi daripada harga sepatutnya.

Beliau berkata, harga barang­an yang dijual di pasaran sudah mengambil kira kos pengeluaran dan margin keuntungan tetapi kenaikan harga barangan masih berlaku dan dikhuatiri fenomena itu berlaku disebabkan orang tengah.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Ekonomi Islam Malaysia, Zamri Zaimon berkata, peranan orang tengah yang tidak bertanggungjawab ini juga me­nyumbang kepada faktor kenaik­an harga barangan sebanyak dua kali ganda.

“Setakat tiga bulan kebe­la­ka­ng­an ini kami menerima aduan daripada lebih kurang 15 buah syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang mendakwa dimanipulasi oleh orang tengah yang hanya meraih untung atas angin.

“Mereka memasarkan produk IKS ke pasar raya atau stesen minyak terpilih dengan harga berganda tanpa membayar kos pengeluaran dan keuntungan kepada pengeluar atau pengusaha tempatan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kemungkinan besar harga barangan di pasaran dimono­poli orang tengah yang bertindak menentukan harga secara sendiri dengan mengaut untung lebih ke atas mereka.

Beliau berkata, secara logiknya setiap barangan yang dijual sudah mengambil kira kos pengeluaran dan margin keuntungan dalam jangka masa panjang.

“Kalau bukan kerana ada unsur orang tengah mengaut keuntungan yang berlebihan, masalah kenaikan harga barang tidak berlaku kerana harga yang telah ditetapkan kerajaan sudah mengambil kira semua aspek,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya pihak berwajib memandang serius isu itu supaya peranan orang tengah dapat dikurangkan sekali gus menstabilkan kembali harga barangan di pasaran.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/orang-tengah-kaut-untung-1.561268#ixzz4zcng0p7a
© Utusan Melayu (M) Bhd

ORANG TENGAH KAUT UNTUNG – UTUSAN ONLINE – 27/11/17 was last modified: November 27th, 2017 by Shariena



Sumber : PPIM

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password