Ogy bengang lihat orang terpekik-pekik depan mahkamah

Personaliti terkenal dalam dunia hiburan, Ogy Ahmad Daud, menempelak tindakan segelintir penyokong Datuk Seri Najib Razak yang berteriak-teriak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Kata seniwati itu, ada perkara lain yang turut penting diperhatikan mereka sebelum melakukan provokasi sedemikian, iaitu mengenai adab.

“Satu dunia dok tengok weiii!!! Malu weiii!!!” katanya di Instagram.

Mengiringi kata-kata itu ialah petikan ringkas – tetapi pedas – dimuat naik anak pasangan Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Saadiah.

“Dok jerit hidup Melayu tapi adab Melayu tak dipraktikkan. Buat malulah wei sampai peguam negara cakap, lakukannya dengan cara yang bertamadun,” katanya.

Tidak dinyatakan secara jelas namun Ogy diyakini memberikan pandangannya terhadap detik bersejarah buat negara ini semalam apabila seorang bekas perdana menteri dihadapkan ke mahkamah untuk dihadapkan dengan tuduhan jenayah.

Najib yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya dalam kes transaksi dana SRC International melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rasa amat jijik

Beliau mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan. Hakim kemudian membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM1 juta yang dibayar secara ansuran sebanyak dua kali oleh anaknya Mohd Norashman dan Nooryana Najwa.

Kekecohan berlaku di kawasan awam apabila Peguam Negara Tommy Thomas yang bertindak sebagai ketua pendakwa bersedia memberikan sidang media selepas proses berkenaan selesai dijalankan.

Malangnya, sekelompok orang awam mula menjerit “Melayulah woi” dan “Hidup Melayu” malah ada antara mereka mengecam Thomas kerana tidak bercakap menggunakan bahasa Melayu.

Kata Ogy, dia berasa kecewa kerana masih ada orang “tidak bertamadun” pada zaman sekarang dan menganggapnya sebagai sangat tidak wajar.

“Abad ke-21 dan kita masih mempunyai ramai orang tidak bertamadun. Amat menjijikkan.

“Pergi hadam kes dan dapatkan peguam bagus untuk jelaskan kes itu kepada kamu.

“Kenapa kamu semua tak boleh guna otak?” katanya yang memang terkenal selalu bersikap lantang dan ‘laser’.

Hidup dalam teka-teki

Sementara itu, mengulas tangkapan dibuat ke atas Najib, pengarah dan pelakon Erma Fatima meluahkan harapan untuk melihat perbezaan politik antara rakyat yang sering mencetuskan perbalahan sejak sekian lama akan terhapus.

Malah katanya, sewaktu melihat penangkapan dilakukan, air matanya menitis dengan tidak semena-mena.

“Sebak kerana sekian lama aku menunggu saat ini, kerana jiwa aku makin sakit melihat bangsa aku berbalah antara satu sama lain.

“Mungkin kalian boleh mengatakan aku biadab kerana seolah berharap pada penangkapan ini.

“Silakan! Aku berharap penangkapan ini akan mengurangkan dosa kita semua. Dosa kita yang selama ini hidup di dalam teka teki…spekulasi demi spekulasi sendiri.. hari ini kita tidak perlu lagi berteka teki,” katanya juga melalui Instagram.

 

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password