NIOSH anjur kempen keselamatan di semua sekolah tahfiz

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) akan menganjurkan kempen keselamatan di seluruh negara untuk membantu mewujudkan kesedaran keselamatan di semua sekolah tahfiz atau sekolah agama.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata kempen itu penting kerana insiden kebakaran masih dilaporkan di beberapa sekolah tahfiz selepas insiden serupa mengorbankan 21 pelajar dan dua warden di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada 14 September lepas.

Lee berkata untuk permulaan kenmpen, NIOSH akan mengadakan program kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) untuk sekolah-sekolah tahfiz di Selangor pada 30 Oktober 2017 dan dijangka diperluaskan ke negeri-negeri lain.

“Untuk memastikan keberkesanan program, NIOSH akan menyediakan garis panduan OSH yang boleh digunapakai oleh semua pusat tahfiz di seluruh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah bahawa NIOSH juga akan menyediakan borang manual dan standard khas untuk membolehkan proses audit dijalankan dengan cepat dan tepat.

Pada masa yang sama, NIOSH akan terus melakukan lawatan ke pelbagai jenis sekolah tahfiz, berdasarkan jumlah pelajar, untuk membantu mengenal pasti bahaya dan isu-isu lain berkaitan OSH.

“Pelaksanaan OSH di sekolah-sekolah tahfiz adalah konsep yang lebih komprehensif kerana ia menganggap institusi itu sebagai tempat kerja dan tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994),” kata Lee.

 

-Bernama
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password