Niat Asal Berdiet Kalori Untuk Memulihkan Penyakit Gout, Lelaki Ini Berjaya Menurunkan 37 Kg Berat Badan Dalam Masa 6 Bulan!

Niat Asal Berdiet Kalori Untuk Memulihkan Penyakit Gout, Lelaki Ini Berjaya Menurunkan 37 Kg Berat Badan Dalam Masa 6 Bulan!

 

Memiliki berat badan yang ideal pasti menjadi idaman semua orang yang inginkan penampilan menarik, cantik dan sihat. Untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik dengan menurunkan berat badan memerlukan kerja keras dan disiplin yang tinggi.

Bagaimanapun, tidak semua pembuat azam akan mampu bertahan dengan mengamalkan diet seimbang dan rejim senaman untuk mencapai sasaran mendapat berat badan impian.

Namun begitu, cara berdiet itu bukan satu perkara yang sukar untuk dilakukan jika kaedahnya dilakukan secara betul dengan mengikut langkah yang telah ditetapkan secara berdisiplin.

Ikuti perkongsian pengalaman Ahmad Zulzaidi Zulkarnain mengenai petua dan cara beliau mengamalkan diet secara berkesan sehingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 37 kilogram dalam masa enam bulan.

Diet itu bermaksud pemakanan yang sihat. Untuk menurunkan berat badan, perkara yang paling penting ialah menjaga pemakanan. Senaman jatuh di tempat kedua.

Bagi menjalankan misi ini, kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Disiplin diri yang tinggi amat perlu untuk mencapai sasaran menurunkan berat badan. Apabila sasaran telah ditetapkan, semangat akan datang dengan sendiri.

Niat asal saya menjadi kurus ialah untuk memulihkan penyakit gout yang dialami.

Apabila dalam berdiet, saya terfikir untuk berhenti separuh jalan, tiba-tiba muncul di minda betapa sakitnya rasa penyakit ini apabila menyerang. Jadi ia telah menjadi motivasi bagi saya untuk terus berdiet dan menurunkan berat badan.

Berikut adalah cara diet saya sehingga berjaya menurunkan 37 kilogram dalam masa 6 bulan.

1. Sarapan itu adalah wajib. Waktu terbaik untuk bersarapan ialah dari pukul 7 sehingga 8 pagi. Selalunya menu saya ialah sandwich telur rebus atau 2 biji telur separuh masak bersama 2 keping roti bijirin gandum.

2. Tidur perlu mencukupi setiap hari dalam jangka masa 6 hingga 8 jam. Semasa tidur kita juga boleh membakar kalori. Jadi waktu tidur yang mencukupi adalah sangat PENTING.

3. Saya makan dalam 5 hingga 6 kali sehari. 3 menu utama dan 2 atau 3 menu sampingan setiap hari. Hidangan sampingan yang menyihatkan, mengikut keperluan kalori badan.

4. Saya mengelakkan minuman manis dan berais. Sila elakkan dari meminum minuman 3 dalam 1 dan air bergas yang tinggi kandungan gula.

5. Banyakkan minum air kosong atau air putih. Setiap 30 kilogram bersamaan 1 liter air. Contoh jika berat saya ialah 97 kilogram , saya kena minum 3 liter air setiap hari.

6. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah mesti yang segar tanpa ditambah garam atau gula. Sayur-sayuran pula dimasak secara rebus atau sup dan bukan digoreng.

7. Ramai orang berdiet mengelak dari memakan nasi kerana berpendapat nasi menggemukkan. Sebenarnya tidak jika kita bijak mengawal pengambilannya.

Makan nasi hanya pada waktu makan tengahari sahaja dengan pengambilan yang terhad, satu senduk atau segenggam sahaja. Satu senduk nasi sehari bersamaan 150 kcal. Amat penting mengawal pengambilan karbohidrat dan gula dalam diet kalori.

8. Roti putih perlu dielakkan, sebaliknya diganti dengan roti bijirin gandum tetapi hanya terhad kepada 2 keping sehari dengan jumlah kalori 154 kcal.

9. Elakkan pengambilan mee kuning dan kueh teow kerana makanan ini berminyak. Bihun boleh dimakan tetapi hanya dengan hidangan sup.

10.Elakkan makanan bergoreng dan berminyak serta berlemak terutamanya makanan segera seperti ayam goreng dan burger. Begitu juga makanan dalam tin dan yang telah diproses seperti daging burger dan nuget.

11.Untuk bekalan protein, saya selalu makan ayam, ikan dan daging yang dipanggang atau dikukus sahaja. Saya selalu makan sup ayam dan mengelak masakan secara goreng.

12.Makan malam itu sangat penting. Jangan tinggalkan makan malam. Sebaiknya makan sebelum jam 8 malam. Sebelum tidur jika terasa lapar, boleh minum susu rendah lemak atau air kosong.

13. Senaman hanya dilakukan pada waktu hujung minggu sahaja. Boleh dilakukan 2 hingga 3 kali senaman dalam seminggu. Contoh senaman kardio yang dilakukan oleh Kevin Zahri. Saya tidak pergi ke gim dan terpulang kepada anda jika mahu membuat senaman cara itu.

14. Ramai yang bertanya, ubat apa yang saya ambil untuk kurus. Saya tidak mengambil apa-apa ubat. Hanya diet secara semulajadi untuk menurunkan berat badan.

15. Puasa juga salah satu diet yang terbaik. Puasa dapat mengimbangi kandungan gula dalam darah. Jika mahu puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, dan amalan puasa sunat yang lain. Puasa akan dapat mengawal nafsu makan disamping mendapat pahala.

16. Sebelum berdiet, pastikan kita memeriksa dahulu keperluan kalori yang diperlukan dalam sehari untuk diturunkan, sama ada untuk dikekalkan atau dinaikkan.

17. Ambil tahu nilai kalori dalam setiap makanan yang diambil pada setiap hari. Untuk mendapat diet yang berjaya, kita kena rajin memantau pengambilan kalori setiap hari seperti yang telah ditetapkan. Boleh menggunakan applikasi MyFitnessPal untuk memantau dan mengira sendiri kandungan kalori setiap hari.

18. Cuba mengelak dari mengalami tekanan kerana ia boleh menjejaskan program diet. Apabila kita mengalami tekanan, biasanya kita akan mula mengunyah dan makan. Ia satu amalan yang tidak digalakkan. Jika berasa marah, cuba beristighfar dengan banyak. Duduk dan minum air kosong.

19. Sentiasa berdoa supaya anda diberikan semangat dan kekuatan untuk meneruskan program diet yang telah dirancang sehingga berjaya. Apa pun rancangan anda, dengan berkat doa dan KeizinanNya, segalanya akan dimakbulkan dan berjaya dengan syarat anda berusaha.

20. Sila catatkan pemakanan itu 80 peratus dan senaman 20 peratus. Jika bersenam tetapi tidak menjaga pemakanan, diet yang dirancang tidak akan berjaya.

21. Sebagai tambahan, peruntukkan satu hari menipu untuk anda, yang merupakan hari untuk kita dibolehkan makan apa sahaja yang dimahukan tetapi dalam kuantiti yang terkawal. Saya mengamalkan sekali sahaja dalam sebulan sebagai memberi ganjaran kepada diri sendiri yang telah berusaha keras berdiet.

Diharap dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang dikongsikan akan dapat membantu anda mencapai berat badan ideal yang diidamkan, disamping untuk jangka masa panjang anda sentiasa kekal sihat.

Kredit foto : Ahmad Zulzaidi Zulkarnain

Sumber : Ahmad Zulzaidi Zulkarnain

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password