NGO cadangkan k’jaan naik harga rokok RM50 sekotak

Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mencadangkan kepada kerajaan supaya menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dalam Bajet 2018 yang dijadualkan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini.

Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusuf dipetik portal Utusan Malaysia sebagai berkata cadangan itu bagi membantu usaha membendung gejala dadah membabitkan remaja dan belia.

Katanya, cadangan kenaikan harga itu bagi menjadikan rokok sebagai satu barangan mahal dan tidak mampu dibeli sehingga menyebabkan remaja dan belia sukar mendapatkannya.

“Jadi, jika harga rokok dinaikkan kepada RM50, sebagai langkah awal, masyarakat tentu akan berfikir berapa kali untuk membeli kerana mahal,” katanya.

Selain itu, Ahmad Saparudin juga dipetik sebagai berkata, berdasarkan pengalaman dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah, anak luar nikah dan virus HIV mendapati, rokok menjadi asas kepada masalah itu.

Ia juga dikatakan menjadi punca beberapa masalah kesihatan.

Buat masa ini, harga rokok paling tinggi yang dijual adalah RM17 sepaket dan terdapat ura-ura ia mungkin akan dinaikkan kepada RM21.50 sepaket, selepas pementangan Bajet.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Jun lalu berkata, Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kepada kurang lima peratus pada 2045, sejajar sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password