‘Neelofa boleh didakwa kerana hina Islam’

 

Pelakon dan pengacara popular Neelofa boleh didakwa kerana menghina Islam susulan tindakannya melancarkan koleksi tudung di sebuah kelab malam baru-baru ini, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Malah katanya, selain penganjur, tetamu yang hadir pada majlis itu juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997).

“Dia (Neelofa) dan mereka yang lain, boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Bukan sahaja Neelofa tetapi mereka yang terbabit di dalam majlis itu kerana menampakkan seolah-olah agama Islam dipandang hina apabila melancarkan simbol kepada penganut agama Islam (bertudung) dengan acara tarian dan berdansa dalam keadaan bertudung.

“Perkara yang baik dan kewajipan dalam agama tetapi dibawa masuk ke tempat yang berunsur maksiat,” kata seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau mengulas berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab, Be Lofa yang diadakan di pusat hiburan terkenal, Zouk pada Isnin lalu.

Mengikut Seksyen 7, akta berkenaan mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keruhkan lagi keadaan

Bagaimanapun menurut Musa, Seksyen 7 (a) meletakkan beban pembuktian yang kuat kepada pihak pendakwaan kerana peruntukan itu terlalu subjektif, dan perlu dibuktikan sejauh mana perlakuan Neelofa atau penganjur itu dikatakan menghina agama Islam.

“Pada pandangan peribadi saya, pendakwaan terhadap Neelofa akan mengeruhkan lagi keadaan. Penganjur sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, malah Neelofa juga sudah buat perkara yang sama,” katanya.

Menurutnya, kecaman yang diterima daripada masyarakat perlu dijadikan pengajaran kepada Neelofa dan pihak lain yang bercadang mahu melakukan perkara yang sama di masa hadapan.

“Alhamdulillah masyarakat kita masih prihatin dan masih tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk,” katanya ketika dihubungi.

Neelofa sejak Selasa lalu menerima kecaman bertali arus berikutan tindakannya menyambut hari jadi dan melancarkan koleksi tudung terbarunya di Zouk- sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara.

Selain Neelofa, turut menerima kecaman daripada netizen ialah personaliti Youtube, Nisa Kay yang dilihat menari secara ghairah ketika majlis berlangsung.

Semalam, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengkaji tindakan terhadap Neelofa yang dikatakan bercanggah dengan syarak.

Bagaimanapun Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, menerusi kenyataannya kepada media telah memohon maaf atas kontroversi yang berlaku.

Pengarah urusan PH Prima Sdn Bhd itu berkata pihaknya memastikan acara berkenaan tidak dikaitkan dengan sebarang unsur minuman keras, bahkan merokok dilarang ketika majlis berlangsung.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password