MULA DEKATI AGAMA – Ezlynn

MYARTIS.COM | MYARTIS | MY | ARTIS: MULA DEKATI AGAMA
Sepanjang bulan Ramadan tahun ini, penyanyi Ezlynn memberitahu yang dia melibatkan diri dengan Tadarus Al-Quran bagi mengejar keberkatan bulan yang mulia ini.

Ezlynn berkata, aktiviti keagamaan itu juga dilihat sebagai terapi yang baik buatnya bagi mengisi kekosongan memandangkan ini merupakan Ramadan pertama sejak dia bercerai dengan Adam Fahmy Shamsudin tahun lalu.

Malah kata penyanyi lagu ‘Hye Hye Bye Bye’ ini, agama adalah jalan terbaik dalam mencari ketenangan selain dapat menghabiskan masa dengan perkara berfaedah.

“Alhamdulillah tahun ini saya dapat menyertai ibu menghadiri Tadarus Al-Quran pada setiap malam. Ia sebenarnya mengisi kekosongan daripada melakukan perkara tidak berfaedah dalam bulan yang mulia ini.

“Daripada lakukan perkara sia-sia, lebih baik cari agama. Cintakan Rasul, sayangi diri dengan mendekatkan diri dengan agama,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa mengenakan hijab, Ezlynn menjelaskan dirinya masih belum menutup aurat sepenuhnya dan ia sebagai menghormati bulan Ramadan.

Bagaimanapun dia berharap keberkatan bulan Ramadan ini mudah-mudahan akan menjentik pintu hatinya agar terus kekal memakai tudung.

“Belum lagi… InsyaAllah. Doa-doakan saya terus kekal memakai tudung dengan keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia juga teruja apabila sudah kembali berlakon menerusi drama bersiri ’30 Juzuk Cinta’.

Menariknya mengenai drama arahan Zul Huzaimy itu, dia membawa watak antagonis yang disifatkan sebagai mencabar namun menyeronokkan.

“Saya sebenarnya sudah lama tak berlakon tetapi apabila mendapat tawaran ini saya tertarik selepas membaca skripnya.

“Tambahan pula watak diberikan antagonis jadi saya lebih tertarik dan teruja untuk melakukannya,” jelasnya.

Selain itu, Ezlynn berkata, single terbaharunya juga bakal dilancarkan selepas sambutan hari raya nanti.

Sumber : MyArtis

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password