MP k’jaan, pembangkang tak terkecuali

 

Pada 19 Oktober kebocoran data terbesar di negara ini diketahui berikutan satu percubaan menjual data peribadi jutaan rakyat Malaysia, menerusi forum Lowyat.

Kebocoran data yang pertama kali terbongkar menerusi portal teknologi Lowyat.net itu sangat meluas, bahkan pemimpin kerajaan tidak terkecuali menjadi mangsa.

Malaysiakini bercakap kepada beberapa anggota parlimen yang antaranya telah menjadi mangsa apabila data peribadi mereka dicuri.

Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong percaya lebih banyak perlu dilakukan untuk memaklumkan kepada mangsa.

“Sebagai seorang ahli politik, anda perlu berurusan dengan berbagai ancaman. Sama ada (ancaman keselamatan) atau bukan, itu ialah satu perkara berasingan tetapi ini tidak sepatutnya berlaku langsung.

“Kamu tak boleh berpura-pura tiada apa yang berlaku. Sebagai orang biasa, saya tidak ada cara untuk mengetahui sama ada maklumat saya itu dibocorkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Penulis blog teknologi, Keith Rozario sebelum ini mengasaskan portal sayakenahack.com untuk membantu Rakyat Malaysia melakukan semakan jika maklumat peribadi mereka dicuri.

Bagaimanapun laman itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama selepas itu.

Liew berkata beliau cuba memeriksa sama ada menjadi salah seorang mangsa tetapi tidak berjaya.

“Saya cuba buat semakan, tetapi saya tidak boleh mendapatkannya jadi saya tidak tahu (maklumat saya dibocorkan).”

Liew juga menambah bahawa Jabatan Perlindungan Data Peribadi juga perlu mengambil langkah lebih proaktif.

Seorang lagi wakil rakyat yang maklumatnya didapati dalam data yang dicuri ialah Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

“Sekiranya ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada orang lain,” kata Irmohizam.

Beliau juga berkata SKMM perlu menyiasat kebocoran itu dengan teliti dan mengambil langkah untuk mengelakkan berlakunya kejadian berkenaan.

Irmohizam, yang sebelum ini tidak menyedari bahawa data peribadinya bocor, berkata mangsa yang lain juga harus dimaklumkan, tetapi hanya selepas SKMM melakukan siasatannya.

“Kita terlebih dulu tidak mahu orang panik,” katanya.

[Baca berita penuh]

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password