Menteri gesa kawasan perumahan tubuh pasukan bomba komuniti

Setiap kawasan perumahan yang menempatkan sekolah tahfiz perlu menubuhkan komuniti bomba masing-masing, kata Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, ia sebagai persediaan tambahan awal bagi mengelakkan lebih banyak yang terkorban dalam tragedi kebakaran, khususnya yang melibatkan sekolah tahfiz.

“Saya seru banyakkan penubuhan komuniti bomba. Kalau boleh setiap kawasan perumahan dan tumpuan kita pada sekolah tahfiz dulu. Yang berdaftar ada 690. Tak daftar 300 lebih.

“(Paling penting) kita kena memastikan langkah-langkah mencegah kebakaran (dilaksanakan),” katanya pada sidang media selepas pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Subang Jaya, hari ini.

Sejak berlakunya tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu menggemparkan negara, usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah tahfiz menjadi fokus pihak berkuasa.

Insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

Di beberapa buah negeri seperti di Johor dan Negeri Sembilan, Jabatan Bomba dan Penyelamat diberi tempoh beberapa bulan untuk memeriksa tahap keselamatan sekolah itu, dan mana-mana sekolah yang tidak mematuhi peraturan keselamatan akan diarahkan tutup.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password