Menang anugerah tapi diusir pula

Memenangi kategori Artis Kegemaran Alternative Rock di acara berprestij Anugerah Muzik Amerika (AMA) sepatutnya membawa tuah kepada tiga anggota Linkin Park.

Namun lain pula yang berlaku apabila mereka diusir keluar selepas memenangi anugerah berkenaan.

Terdahulu sebelum itu, Mike Shinoda, Brad Delson dan Rob Bourdon dilarang memasuki acara tersebut akibat berlaku kekeliruan terhadap pas masuk.

Hal itu menghalang mereka berada di acara karpet merah yang sedang berlangsung ketika itu di Microsoft Theater in Los Angeles, California.

“Kami tidak mempunyai tiket dan pas rasmi. Mereka mungkin akan mengusir kami keluar,” kata Shinoda menerusi perkongsian di media sosial.

Dalam perkongsian seterusnya, Shinoda memberitahu pengikut di Instagram miliknya bahawa mereka berjaya memperoleh pas sementara bagi menyaksikan acara berkenaan.

Ketika menerima anugerah, Shinoda menjentik perasaan hadirin dengan ucapan beremosi mengenai mendiang vokalis mereka, Chester Bennington.

“Saya berpeluang untuk bercakap dengan anda semua yang mendoakan perkara baik-baik buat Chester.

“Ia adalah perkara sama turut diucapkan oleh peminat kami di seluruh dunia, kami mahu mendedikasikan anugerah ini kepada mendiang, memori, bakat, sifat kelakar dimiliki dan kegembiraannya,” katanya.

Bennington sebelum ini ditemui mati tergantung di kediamannya di Palos Verdes, Los Angeles Julai lalu dalam kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh diri.

Bagaimanapun, sebaik turun dari pentas, Shinoda dan dua lagi rakannya tidak dibenarkan masuk semula ke dewan bagi menyaksikan acara hingga ke penghujung.

Sebaliknya mereka diiringi dan diarah pengawai keselamatan supaya bergegas keluar meninggalkan acara yang sedang berlangsung.

“Kami sebenarnya memang berhak dan sepatutnya berada di sini, kami baru saja memenangi anugerah,” katanya kepada pengawai, namun rayuan itu tidak diendahkan.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password