MATA PIKAT HATINYA

MYARTIS.COM | MYARTIS | MY | ARTIS: MATA PIKAT HATINYA

 

Selain mendedahkan mulai jatuh hati terhadap suaminya iaitu Adam Sinclair kerana pemuda itu mempunyai sepasang mata yang cantik, penyanyi Yuna atau Yunalis Zarai, 33, memilih Adam sebagai pasangan hidup kerana jejaka itu seorang yang memahami selain mereka mempunyai minat yang sama.

“Kami sebenarnya banyak persamaan dari pelbagai segi dan itu membuatkan saya selesa bersamanya. Adam juga seorang yang tahu untuk buat saya berasa selesa dan dia seorang yang ‘cool’ selain sentiasa memahami dan positif.

“Tapi yang paling penting Adam mempunyai sepasang mata yang cantik!,” kata ketika ditemui pada sesi bertemu media berhubung perkahwinan mereka yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, Yuna dan Adam atau Adam Yousof Mohamed Sinclair, 34, selamat disatukan sebagai suami-isteri dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos tahun lalu itu diadakan di Puncak Rimba, Bentong Pahang dan hanya dihadiri oleh kaum keluarga dan kenalan terdekat.

Dalam pada itu, Adam pula mendedahkan sebelum ini dia tidak pernah memberi perhatian terhadap karier muzik Yuna namun mula tertarik selepas menonton persembahan penyanyi itu menerusi program popular di Amerika iaitu Conan O’Brien Show.

Bagaimanapun kata Adam, peluang bekerjasama dalam sebuah projek iklan televisyen pada 2013 sedikit sebanyak membuatkan dia ingin mengenali Yuna dengan lebih dekat.

“Ketika bekerjasama untuk iklan televisyen itu saya bertindak sebagai pengarah dan hampir 12 jam bersama di set penggambaran membuatkan saya ingin mengenalinya dengan lebih dekat.

“Walaupun ketika itu hubungan kami atas dasar profesional namun tiada wanita yang bertahan dengan saya hampir seharian membuatkan Yuna istimewa.

“Dia sangat istimewa dan mempunyai hati yang sangat baik dan itu membuatkan saya menyukai tentangnya walaupun dia adalah selebriti terkenal,” ujarnya.

Sementara itu, Yuna berkata, dia akan terus menetap di Los Angeles selepas berkahwin namun akan terus berulang-alik ke Kuala Lumpur seperti kebiasaan.

Kata Yuna, buat masa ini Adam akan mengikutnya pulang ke Amerika namun suaminya itu juga akan berulang-alik kerana kariernya memerlukan dia berada di Kuala Lumpur.

“Insya-Allah walaupun mungkin berjauhan namun kami akan cuba sentiasa untuk menghabiskan waktu bersama. Sebelum ini pun kami sudah terbiasa dengan perhubungan jarak jauh jadi mungkin tidak akan menjadi masalah.

“Bagaimanapun Adam akan ikut saya ke Amerika dan mungkin dia akan membantu saya dengan kepakarannya sebagai pengarah untuk projek seni saya pada masa akan datang di Amerika,” jelasnya.

Bercakap soal cahaya mata, pasangan ini sepakat untuk menyerahkan perkara itu kepada rezeki.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran dan biarlah ia berlaku secara semula jadi,” katanya yang mungkin akan berbulan madu di Amerika Selatan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, pasangan pengantin baharu itu akan diraikan dalam sebuah majlis kenduri yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad (malam ini).

.

.

Sumber : MyArtis

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password