Mahkamah tolak rakaman lakonan semula jadi barang bukti

 

Rakaman video lakonan semula seorang tertuduh wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini oleh pihak pendakwaan tetapi ditolak mahkamah sebagai barang bukti.

Rakaman video yang dipaparkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu yang hanya sempat ditayangkan beberapa ketika memaparkan Siti Aisyah, 26, duduk di Restoran Bibik Heritage di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dengan tangannya bergari diiringi beberapa anggota polis wanita.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali mengemukakan rakaman video itu sebagai barang bukti ketika sesi pemeriksaan utama terhadap saksi pendakwaan ke-28, Pengawal Keselamatan KLIA 2, K. Govulan.

Bagaimanapun ia dibantah peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, atas alasan pihaknya sebelum ini dimaklumkan bahawa rakaman video lakonan semula itu tidak akan digunakan sebagai barang bukti kerana ia dibuat selepas kedua-dua tertuduh ditahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa saksi itu perlu disoal mengenai rakaman video berkenaan kerana beliau yang bertanggungjawab menyediakannya serta menyerahkan kepada pegawai penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

“Kita boleh memainkan rakaman dan membuat keputusan kemudian sama ada mahkamah boleh menerima atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, Gooi menegaskan bahawa jika pihak pendakwaan hendak memainkan keseluruhan rakaman lakonan semula itu, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk menjalankan ‘perbicaraan dalam perbicaraan’ berhubung barang bukti itu.

Hakim Datuk Azmi Ariffin kemudian membenarkan bantahan Gooi supaya rakaman itu tidak dimainkan dan tidak diterima sebagai barang bukti dalam kes tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah, hanya lima lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, dan Doan Thi Huong, 29, yang didakwa membunuh Kim Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2, Sepang pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Setakat ini pendakwaan memanggil 28 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Okt tahun lepas. Perbicaraan bersambung esok.

-Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password