MAB lantik Izham GCEO baru

Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengumumkan Kapten Izham Ismail akan dilantik sebagai pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini, MAB berkata Izham – yang kini merupakan ketua pegawai operasi (COO) – akan menyandang jawatan GCEO pada 1 Dis 2017 ekoran ketiadaan Peter Bellew yang kini diletakkan di bawah cuti pentadbiran.

Katanya pelantikan Izham sejajar dengan pelan penggantian yang digariskan MAB sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), yang disediakan bagi pembangunan dan penggantian bakat kepimpinan Malaysia.

“Bagi memastikan peralihan lancar, sebuah jawatankuasa lembaga eksekutif akan ditubuhkan untuk tempoh enam bulan.

“Ia akan diketuai oleh Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof dan akan membabitkan ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan,” menurut MAB.

Pecah rekod penerbangan

Katanya Izham telah memainkan peranan penting kepada usaha pemulihan berterusan syarikat penerbangan itu.

Sebagai COO, katanya, beliau bertanggungjawab bagi bahagian operasi, yang termasuk operasi penerbangan dan lapangan terbang serta kejuruteraan.

“Beliau mengetuai penyusunan semula bahagian kejuruteraan bagi operasi yang lebih cekap dan lancar, serta bertanggungjawab bagi inisiatif penjimatan bahan api syarikat penerbangan itu,” menurut MAB.

Izham mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan, memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia apabila beliau menerbangkan pesawat B777-200 pertama Malaysia Airlines pergi dan balik dari Seattle ke Kuala Lumpur.

Sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.

Mengalu-alukan Izham kepada jawatan barunya, Md Nor berkata Izham merupakan ahli penting dalam keluarga MH dan mempunyai pemahaman yang luas mengenai operasi syarikat penerbangan dan pengurusan perniagaan.

Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password