Lincah tari silat kata Tok Guru


Tok Guru seorang yang tidak gemar kepada klise atau mengulang-ulangi sesuatu menjadi lewah. Ini salah satu punca dia menelaah al-Quran serta membaca banyak buku yang ditulis pengarang semasa dari dalam dan luar negara.

Selain daripada membelinya sendiri, exco dan kawan-kawan Tok Guru yang cerdik dan cerdas membaca sering menghadiahkan beliau dengan bahan-bahan bacaan terpilih daripada jenis ini.

Ia menjadikan Tok Guru sentiasa beraura.

Dia memilih untuk berbeza bukan kerana sengaja mencari sebab untuk dilihat berbeza, tetapi dia faham bahawa di dalam dunia yang rata-rata telah terpisah daripada takungan ilmu Islam – sedangkan Islam cukup mewah menyediakan jalan keluar daripada setiap persoalan – maka dukungan bahan akedemik tulisan pelbagai sarjana amat penting.

Untuk menjadi efektif, Tok Guru harus kreatif dan mahir menumbuhkan Islam di tengah-tengah biah dan alam sekeliling.

Pada beliau, telah menjadi naluri semula jadi manusia sukakan benda baru. Justeru untuk kekal relevan, beliau harus sentiasa menghidangkan sesuatu yang tidak basi. Bahan pemikiran beliau harus sentiasa kelihatan segar.

Lantaran itu kita sering terserempak dengan sesuatu yang rata-ratanya berenergi dihidangkannya sejak dulu lagi.

Santai tapi tetap maju

Jika dalam dunia kewartawanan, wartawan biasa-biasa mudah terikat dengan garis panduan, menggunakan formula piramid terbalik atau “lima W satu H” misalnya.

Namun jika diandaikan Tok Guru seorang jurnalis, beliau lebih pentingkan “scoop”.

Dalam kolum kali ini, saya akan cuba mengangkat pebagai contoh “scoop” daripada kenyataan-kenyataan beliau yang lucu-lucu tetapi tetap membimbing.

Atas sifat “scoop” atau ekskusif itu kebanyakan kenyataan beliau mampu mencuri perhatian, sekali gus meletakkan Tok Guru dalam kategori pemimpin Islam yang tersendiri.

Yang dipentingkan beliau ialah mengenali kumpulan sasar, keberkesanan mesej dan nisbah upaya celik rakyat agar mampu menyambut dan bertindak balas – menerima terjahan pemikirannya dalam santai tetapi maju.

Namun ini tidaklah bermakna ia satu-satunya kaedah yang digunakan Tok Guru. Ia sekadar pendekatan untuk melunakkan penyampaian demi mempastikan penerimaan. Insya-Allah, pada kali ini, saya akan turunkan sebahagian daripada petikan dialog beliau yang lucu-lucu tetapi tetap masih serius menongkah arus.

Ini pun setakat yang sempat saya urus.

Buat pembuka cerita, dalam berjenaka Tok Guru pernah misalnya mengumpamakan kegiatan dakwah itu bagai membaling selut ke dinding.

  • Berdakwah ni seni jugaklah:

“Selut kita, jangan terlalu keras atau terlebih lembik. Jika keras, jika ia singgah ke dahi, sakit. Dahlah menyakitkan, ia pecah di dahi. Orang akan lari dalam bengkak.

“Jika terlalu lembik pula tak boleh, ia tidak lekat. Jadi, gumpallah selut yang sederhana. Ini soal biasa tak biasalah, tapi kena biasa-biasakanlah diri untuk berhikmah.

“Gumpal selut yang tidak lembik tidak keras. Yang penting ia dapat singgah dan melekat. Benda ni, tidak mesti suara sergah suara kuat. Kita kena pandai pujuk dan sesuai-sesuaikanlah.”

  • Dah tahu nak masuk bandar, jangan tumpang rusa kampung:

“Jika kita nak gi Kuala Lumpur, kita kena ambil drebar yang boleh bawa kita dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, tahu semua selok-belok jalan di bandar.

“Kita tidak bolehlah ambil drebar yang hanya cukup solat lima waktu dan kuat bertahajud jah. Dahlah kita rusa kampung; ambil pula drebar jenis rusa kampung juga – maka sapa di KL, serupo rusa masuk kampunglah habis sebutir kereta mmuta, mmusing (berputar dan berpusing)!”

  • Keluar air tak putus besi tak sampai sseto (sehasta):

“Ni cerita lama. Satu hari, adalah orang ulu mudik Kota Bharu. Sakan dia terkejut tengok sebatang besi. Dalam cerita dia, setelah balik ke ulu, dia kata: oloh, pelik laa Kkoto Bharu.

“Ada besi panjang sseto jah taapi, tubik (keluar) air, pagi pah gelap, tak bereti-radu (tak reti nak berhenti dan beradu). Oloh pelik laa.”

Maka riuh rendahlah gelak ketawa. Tok Guru menyambung: “Kito ni, jangan jadi macam orang kampung yang tak tahu hulu hilir; bagaimana sistem rangkaian air paip. Dia nampak saja tercegat di tepi jalan dan masa hari panas, kita pun bolehlah basuh-basuh muka. Dia tidak begitu. Dia mugo ni (benda ini) ada paip panjang dalam tanah tu dan paip itu, tuju ke ibu. Ibu dia di loji air Lundanglah atau Loji Chica. Benda ni begitu.”

  • Melatih diri jadi berani dan menolak khurafat:

“Masa ambo muda-muda dulu, ada satu tempat tanah kubur yang katanya, ngosek laa (berhantulah). Ambo naik wwah (was-was) dan ambo tok fikir begitu. Pada satu malam melebihi jam 12, ambo balik dari beri ceramah. Masa tu, naik motorsikal Honda Cub 50cc.

Nok jadikan cerita, ambo nok uji. Ambo saja, mmapuh (mati) motor ambo betul-betul di tepi tanah kubur itu. Ambo kata, sekali ni ikut dio apo nok jadi, aku hadap! Ambo pun duduk diam. Berpeluh jugok laa tahan hati ni… tapi tak dok apa pun yang keluar.

“Ni laah kita ni banyak ditakutkan oleh perasaan. Pada halnya, tak dak apa.”

  • Memujuk hati orang miskin dalam nada simpati:

“Kalau kito ditakdir miskin, tak po lah. Redholah. Nak buat guano. Terima sajo lah sambil jangan lupa, doa dan ikhtiar. Susah memang susahlah. Nok makan daging tiga bulan sekali pun mungkin tak bertemu. Tapi, kito buleh beli daging hok orang kikis, beli samah serial (RM1.50). Memanglah dia keras tapi kita masih boleh rebus.

“Ambil kuah dia saja; ambil zat dia buat kuatkan tulang urat. Daging keras tu – buang, tak po lah. Lepas tu, Tuhan pandailah pulak tukar benda tu semua jadi tenaga untuk kita buat kerja.

“Bukankah Tuhan kita ni Dia dari jenis yang Maha Pemberi dan Maha Menolong. Tu kito kena pakat tawakallah dan bersangka baiklah.”

  • Tegur kedua-dua sekali, suami isteri:

“Ni. Ore ttino (isteri) ni kita kena kaba (sedar). Kito ni bini orang. Kalu tok llaki (suami) kito suka makan ikan kecil-kecil tapi kita suka makan ikan besar-besar, kito kena ikut selera tok llaki. Tekoh (masa) dia tak ada di rumah tu, kita belilah ikan besar. Makanlah.

“Ni semua nok suruh ikut selera kita. Sikit tak kena, gaduh nak mintak cerai.

Tok llaki pun serupa. Dia tak boleh ikut sedap dia jah. Pergi berbual malam-malam kedai kopi, balik pukul 12; kerja malas. Bini tanya banyak sikit, tapa (tampar). Pah, paksa bini nnego (berniaga). Pah petang esok gak, paksa bini bui (beri) duit.

“Kadang-kadang, nok bbini dua, nah – sombongnya. Agah! Eh, nafkah-nafkah ni, tanggungan tok llaki nok royak bui; biar paham getek.”

  • Cinta lelaki perempuan dalam hubungan Awal Muharram:

“Hari ni Awal Muharram. Malam tadi kita berceramah di Balai Islam. Hari ni kita poso (berpuasa). Kita tak sambut dengan berarak. Kita tak sambut dengan bergalak tapi hari ni kita tunjuk sayang kita kepada Tuhan hingga sanggup berlapar.

“Macam orang bercintalah, baik orang jate (lelaki) ke atawa (atau) orang ttino (perempuan). Ambo tak dan bercinta hari tu, pakai terima jah laa. Kita tengok orang bercinta, sampai ke peringkat kurus kering – tak tahu makan demano (di mana), tak tahu pakai demano, tak tahu tidur bangun demano – ini dalil orang dalam bercintalah. Berat mugo nnih.

Poso ni dia line nni lah. Kita guna sifat sayang Tuhan lebih daripada guna sifat takut kepada Dia. Sebab itu, kita sebut: Bismillahirrahmaanirrohiim – Dengan nama Allah yang Amat Pemurah dan Amat Kasihan Belas.

“Bila kita dengar khabar kata Tuhan kita ni baik, Tuhan ni amat murah hati, akan marilah perasaan halus dalam hati, sayang ke Tuhan, kerana itu kita puasa. Kita rela lapar dan jjadi kurus semetar (sebentar). Tak payah marilah rasa gerun rasa takut tak kena tempat tu.”

  • Buka tanah ulu, nyamuk besar-besar betis, rimau glewak (berkeliaran):

“Ibarat kita sanggup pergi buka tanah hutan di hululah. Kita dengar Tok Penghulu royak (beritahu), tempat ni banyak rimau. Jadi kita awal-awal lagi kena tahu mugo buka tanah hutan ni, nyamuk besar-besar betis dan di sini, glewak penuh dengan rimau.

“Begitu jugalah kita masuk dalam perjuangan Islam ni. Kita tak boleh masuk dengan meraba tak tahu sekaro (tak tahu apa). Kita kena masuk dengan faham dan masuk dengan reti. Nabi kita kena kepung –  bukan setakat kepung tubuh, tapi kepung segala-gala sampai ke peringkat nak makan minum pun tak sempurna.

“Ni benda gini, para hadirin ssemo (semua), perjuangan ini tentulah kena ada pengorbanan. Kita kena faham benar-benar mugo ni.”

  • Nak senang-lenang, ddenu seksok (di sana, esok-esok):

“Dalam surah an-Naba’ ayat pertama, dimulakan dengan kalimah amma yatasaa alun. Ayat ke-31, Allah sebut: Innalil muttaqi nama faaza. Hada iqo wa a’naaba,waqawa iba atroba… hisaaba.

“Ini semacam Tuhan sindir kepada orang yang tidak muttaqiin, tidak bertakwa kepada Allah. Ekonomi tidak takwa; politik tidak takwa; memerintah tidak takwa.

“Yang kamu tidak takwa kepada Aku ni, kamu nak apa? Kamu tak sembahyang, kamu guna harta riba, kamu berjudi, kamu rasuah, kamu sogok, kamu under table – entah macam-macam nama duit kamu nak cari yang terang-terang bercanggah dengan takwa?

“Kamu tidak nak takwa ni, kamu nak apa? Kalau sibuk nakkan keseronokan hidup, ddenu seksok. Innalil muttaqiina mafaaza – untuk golongan muttaqiin (orang yang bertakwa) di akhirat kelak, ada bermacam-macam yang disediakan – kebun, buah-buah anggur, perempuan cantik yang remaja. Pah (habis), nak apa?

“Kerana apa mu tak sabar sekejap? Perjuangan kita hari ni, hidup kita hari ni, memang perlu berbuat sesuatu yang kita sebut berjuang. Ni, tak dan dan!”

  • Politik lemah macam lelaki tua berbini muda:

“Orang yang berehi (berahi/bernafsu) menyumpah ni, orang yang nak tunjuk tenaga besar, nak tunjuk nafsu besar tapi tenaga lemah.

“Ibarat orang tua bbini (berbini) anak muda. Pah, koho (makin) duduk menyumpah kokrang lah (ke oranglah). Tok buleh orang ttino dio (isteri dia) tengok ke orang lain sikit, kira nak (herdik): menatang ni, menatang ni. Cemburulah. Dia nak layan orang muda, tak buleh. Pah, koho dduk menyumpahlah. Belah tulah (macam tu, lah). Politik pun, belah tu (macam tu) jugak.

“Jadi orang politik menyumpah, kita nak jawab lagu mana? Jawab menyumpah jugak? Kalau menyumpah jugak, jadi kita serupa dialah.”

  • Perintah negeri sunnah nabi:

“Dalam banyak-banyak benda yang dibawa nabi ialah memerintah. Ini sunnah. Ni, bila sebut sunnah, kita ni umumnya duduk berasa sunnah nabi ni cuma sembahyang jemaah, taruh janggut, bersugi, naik masjid langkah kaki kanan – adalah 10 atau 15 lagi.

“Masalah memerintah negeri ni, jarang butir mata merasa dia juga sunnah. Kalau tidak sunnah, memerintah negeri ni, kawe (saya) nak tanya demo (kamu), sapo dio (siapa dia) memerintah nabi masa nabi duduk ada hari tu?

“Korea? Jepun? Amerika? Dok belaka. Pah, kalu tidak belaka, sapo dio (siapa dia)? Nabilah. Nabi demo (kamu), nabi kawe (saya) lah. Ssemo tu (semua tu) semua sekali sunnahlah tu.”

  • Macam hok duk makan rumput di padang:

“Bumi kalau tiada air hujan, rumput mapuh (mati), pokok kayu mapuh, mati juga – orang. Begitu juga kalau tidak ada nabi, tidak ada ilmu kenabian turun dari langit ke muka Bumi, jadilah manusia, orang seorang-orang – tak dak beza sikit pun dengan hak makan rumput di padang.

“Bila manusia tiada ilmu ugama, apa beza dia dengan demo ttu (maksudnya, lembu kerbaulah)? Tanduk hak tu, panjat hak ni. Sebagaimana lembu kerbau; tanduk sana sini. Orang bila tak ada ilmu Islam maka tak boleh tengok hak lebih sikit.

“Khianatlah, tipulah, bunuhlah, rasuahlah, politik wanglah. Macam-macam pesyeng (fesyen). Semua ni berpunca daripada tubuh jah ada tetapi dalamnya kosong.

“Jadi, semua sama-sama perlu. Air dari langit untuk pero (pelihara) tubuh supaya segar-bugar, dan wahyu dari langit untuk pero roh kita supaya ruh kita cam, ruh kita kenal hak mana cerah, hak mana gelap. Hak mana boleh, hak mana tak boleh. Hak mana cuci dan hak mana cemar. Begitu.”

Membedah rasional

Meneliti pendekatan Tok Guru saat melikui khalayak memang cukup ralit. Dalam banyak ketika, dia akrab memilih kaedah yang boleh mencetus “human interest”.

Diambilnya cerita-cerita yang dekat di hati rakyat untuk mengirim hasrat. Dakwahlah, apa lagi!

Cerita-cerita yang bercorak “mencetus minat ramai” ini biasanya bersifat cerita di sebalik cerita. Ia mengenai kehidupan seharian rakyat dengan mengungkit “historical happenings”. Ia sarat berkelakar tetapi masih kental bermotivasi.

Mungkin Tok Guru tak terperasan yang dia sedang menggunakan pendekatan ini tetapi jika diikutkan ilmu behavioural science (sains tingkah laku), inilah jalannya. Ia terbukti terpuji.

Tok Guru bijak menguasai pentas ketika berlaku peralihan tampuk kuasa pada lewat 1990. Dia sedar, dia perlu pantas melontar pelan-pelan lakaran baru agar Kelantan mengalami proses penyegaran sepatutnya.

Proses meremajakan pemerintahan telah dilakukan semula dengan membekalkan massa di Kelantan – dan di Malaysia amnya – dengan wajah Islam semasa dalam pelbagai terjemahan harapan yang berdimensi baru.

Ia mengenai satu perkara saja iaitu: kita sekarang di mana, dan ke manakah arah destinasi dituju.

Apa yang diutamakan Tok Guru ialah penerimaan dan pembetulan persepsi melalui kaedah teknik-teknik pujukan anekdot (persuasive anecdote techniques). Islam itu logik. Islam itu menarik. Islam itu dinamik. Ia seharusnya bersifat rahmatan llil ‘alamiin.

Dan yang penting, Tok Guru berjaya memilih lorong yang betul. Ia menjadikan ketegangan hubungan kaum menjadi reda. Sekali gus, ini menjadikan suasana intra dan hubungan interpersonal parti semakin melunak.

Bahkan, di kalangan birokrat secara dalaman pun, proses ini turut dilihat membentuk sikap yang berharmoni di Kelantan. Mereka mendukung kehadiran Tok Guru. Mereka sedia tumbuh sederap bersama lelaki bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat demi mengangkat pemimpin berwawasan yang pada mereka cukup jujur untuk membangun.

Ini resipi kepimpinan Tok Guru yang melangsungkan daya hayat. Kaedahnya nyata cepat membentuk kerabat saat deklarasinya yang meraikan semua itu didengar.

Dasar-dasar Islami yang digarapnya mesra Melayu, mesra Cina, mesra Siam, mesra Orang Asli dan mesra India. Rata-rata ia diyakini bersifat inklusif, langsung mampu menjalin political intrigue setempat – menganyam rasa kekitaan kelompok yang unik.

Adapun akan perihal punca krisis yang sedang melanda negara dan Kelantan terkini pada amnya, ini bolehlah dikias-kiaskan lewat bahan-bahan kuliah Tok Guru yang selamba dilontarnya seperti di atas.

Dan, Tok guru telah pergi meninggalkan kita dengan sejahit amanat untuk terus membina. Tiada kompromi bagi gerakan Islam untuk berjinak-jinak dengan kuku yang menindas. Kezaliman, penipuan dan rasuah baginya adalah seterunya yang nombor satu.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password