Letih Jadi Fattah Amin.. – PenmerahPress

Letih Jadi Fattah Amin.. - PenmerahPress

Populariti diraih pelakon kacak, Fattah Amin tidak perlu dipertikai lagi.Satu persatu drama lakonannya mencipta fenomena sekali gus melonjakkan lagi namanya.

Walaupun ramai mengkritik mutu lakonannya, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 27, tidak pernah melatah, sebaliknya lebih selesa dengan berdiam diri.

Malah, dalam pada netizen terus bercakap sesuatu yang negatif mengenai dirinya, pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini bersyukur rezekinya tidak pernah putus.



Fattah mengakui, sejak dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2011/2012, tawaran berlakon sebagai watak utama sentiasa ada.

Sepanjang tempoh lima tahun itu, Fattah tidak pernah menyesal atau menyerah kalah biarpun kerjaya seninya diwarnai dengan pelbagai kisah sensasi.

“Sebenarnya penat menjadi Fattah Amin ini. Setiap hari saya bekerja dan tawaran diterima pula tak putus terutama sejak dua tahun kebelakangan ini. Namun, semua itu adalah rezeki.

“Sejak memenangi Hero Remaja lagi iaitu pada awal 2013 sehingga sekarang, alhamdulillah Allah berikan rezeki dan peluang ini. Bagi saya tak salah untuk terus bekerja selagi berkemampuan dan ada tenaga. Rezeki pasti datang kemudian.

“Dalam perkara ini, saya meletakkan diri sebagai produk yang mana harga kena berbaloi, luaran kena menarik dan segala-galanya perlu berkualiti. Dari situ baru orang nak beli. Disebabkan itu saya kena jaga bagi mengekalkannya,” katanya.



Melihatkan perkembangan kerjaya Fattah dan popularitinya kini, tidak hairanlah jika dia terus menjadi buruan penerbit dan pengarah bagi membintangi sesebuah karya.

Pada masa sama, Fattah yang digelar Yang Paling Cute (YPC) dalam kalangan peminatnya dianggap buah hati mereka.

Tidak hairan jika nama Fattah menjadi pilihan peminat bagi acara anugerah berdasarkan undian peminat.

“Bagi saya sama ada anugerah bersandarkan undian peminat yang menjurus pada populariti dan juri (penilaian untuk terbaik), kedua-duanya ada kekuatan tersendiri.

“Bagaimanapun, tidak bermakna memenangi anugerah daripada undian peminat meletakkan hasil lakonan seseorang pelakon itu kurang baik.

“Sebabnya, kini penonton juga mempunyai penilaian sendiri iaitu mereka memilih kerana percaya pada bakat artis yang diminati. Manakala, untuk penilaian juri pula tidak dinafikan, mereka lebih berpengalaman dalam memilih mutu lakonan terbaik,” katanya.



Oleh itu, Fattah menyifatkan anugerah atas pilihan peminat atau juri mempunyai kekuatan tersendiri.

“Bagi saya, kedua-dua anugerah ini adalah satu pengiktirafan bermakna. Selepas mengharungi pelbagai fasa suka duka sebagai pelakon akhirnya saya berjaya berada pada tahap sekarang.

“Ternyata, ia belum mampu membuatkan saya puas untuk meyakinkan peminat terhadap kepercayaan diberikan mereka untuk membuat yang terbaik lagi.

“Malah, buat peminat yang menjadikan kejayaan saya inspirasi mereka, terima kasih kerana mempercayai bakat saya dan semoga kita bersama mencuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.



Tidak tercabar dengan Hero Remaja baru

Dalam pada nama Fattah masih meniti di bibir peminat, kemunculan juara Hero Remaja 2017 iaitu Alif Muhaimin dilihat bakal memberi persaingan.

Berdasarkan personaliti dimiliki, ramai yang mula menjangka juara baru ini mampu menewaskan populariti Fattah.

“Saya tak berapa kenal lagi siapa yang muncul juara. Tetapi bagi saya, apabila muncul juara sudah pasti juri melihat sesuatu yang berkualiti pada dirinya. Perjalannya dalam bidang ini baru bermula.

“Saya pun tak pernah terfikir selepas menang Hero Remaja dipilih menjadi hero dalam sesebuah drama. Sedangkan perkara ini susah nak dapat terutama bagi pelakon baru. Namun, ia rezeki saya. Mungkin selepas ini rezeki mereka pula.

“Bagi saya, tidak ada istilah selepas ada juara baru, yang lama dilupakan. Rezeki dan peluang masing-masing. Apa yang penting adalah usaha dan kerja keras perlu ditunjukkan,” katanya.

Fattah juga beranggapan kebanyakan finalis Hero Remaja tahun ini tidak bersandarkan rupa semata-mata.



Malah Fattah menyambut baik jika mereka meneruskan minat yang ada untuk diketengahkan lagi dalam industri hiburan tempatan.

“Saya genbira kerana pelapis Hero Remaja 2017 tidak bersandar pada rupa. Saya difahamkan ada antara mereka pernah berlakon, berbakat dalam nyanyian dan banyak lagi. Mereka adalah pelapis anak seni yang dicari.


“Bukan juara saja boleh pergi jauh, tetapi ramai lagi dalam kalangan mereka. Pesan saya, buat saja apa yang nak dibuat. Asal saja ia bagus dan menyumbang kepada industri kita.

“Paling penting, sentiasa rasa ingin tingkatkan prestasi, belajar dan memajukan diri. Saya pasti ia pasti membuahkan hasil,” katanya.



Cipta fenomena lagi

Menyentuh mengenai kerjaya lakonannya, Fattah kini terbabit dalam drama Coffe Prince (CP) adaptasi daripada drama siri popular Korea Selatan.

Drama yang menggandingkan Fattah dan Janna Nick selaku watak utama ini bakal ditayangkan di saluran Astro pada Disember ini.

“Diakui drama ini berbeza daripada kebanyakan drama Melayu lain. Malah watak Raikal yang saya lakonkan juga tidak sama dengan watak yang dibuat sebelum ini.

“Jika drama sebelum ini saya tidak berani meletakkan kepercayaan tinggi, tetapi tidak pada drama ini. Saya yakin drama ini lebih hit dan bakal mencipta fenomena tersendiri. Saya dapat rasakan perkara ini.



“Memandangkan ia drama pembikinan semula membuatkan peminat asal drama ini tidak akan melepaskan peluang untuk menonton. Orang nak tahu bagaiman CP versi Melayu,” katanya.

Selain itu, Fattah juga teruja untuk menantikan tayangan filem pertama lakonannya iaitu KL Special Force yang dijangka ditayangkan pada Disember ini.

Istimewa buat peminat yang merindukan lakonannya bersama Fazura, pasangan ini bakal muncul dalam drama FTV berjudul Wanita Terindah.

Sumber: Harian Metro



Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password