‘Lepas berpuluh tahun baru nak ambil tindakan pada Dr M?’

 

Atas pelbagai sebab, jarang kita melihat selebriti tanah air bersuara dalam isu politik, terutama dengan suara yang mengkritik kerajaan.

Namun pelakon Fathia Latiff nampaknya menjadi pengecualian dalam perkara itu.

Hari ini, dia sekali lagi mengkritik kerajaan dan kali ini berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (forex), yang antara lain mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat.

Fathia mempersoalkan sama ada langkah itu adalah sesuatu yang “bijak”.

Selepas berpuluh-puluh tahun Tun (Mahathir) berkhidmat pada negara baru nak dakwa? Inilah dinamakan ‘bijak’?” soal Fathia atau nama penuhnya Nur Fathia Abdul Latiff, di Twitter hari ini.

Selain Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu, RCI turut mengesyorkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, untuk disiasat.

Ini kerana kedua-duanya mungkin bersubahat dengan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam menyembunyikan beberapa fakta berhubung perkara itu kepada Kabinet.

Namun setakat ini, belum pasti sama ada semua pihak yang didapati terlibat dalam perkara itu akan didakwa di mahkamah

Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, RCI menyimpulkan Bank Negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam dagangan forex antara 1992 hingga 1994, dan Nor Mohamed yang menjadi sebahagian daripada pengurusan Bank Negara pada ketika itu sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata, polis telah menubuhkan pasukan siasatan khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh selepas menerima laporan tentang perkara itu.

Fathia berkata lagi, jika “ingin membuka cerita lama”, kerajaan patut juga menyiasat dakwaan tentang “sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi individu tertentu”.

“Siasatan perlu dibuat dan ‘keputusannya’ didedahkan kepada umum kerana masih ada persoalan yang tidak dijawab sepenuhnya. Setuju?” soalnya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada sumbangan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata wang itu disumbangkan keluarga diraja Arab Saudi, walaupun sesetengah pihak termasuk pembangkang mendakwa wang itu berkait dengan 1MDB.

Najib menafikan dakwaan tersebut, dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password