Lelaki mohon maaf bunuh wanita

Seorang lelaki ditahan polis selepas memohon maaf dan mengaku dia telah membunuh seorang wanita berumur lingkungan 40an di rumahnya di Kampung Tersusun Tasek di Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata lelaki berumur 34 tahun itu hadir ke Balai Polis Bercham pada kira-kira 3.30 petang dan memberitahu dia telah membunuh wanita terbabit.

“Apabila tiba di rumah terbabit polis menemukan mayat mangsa dengan kesan kecederaan di bahagian muka dan belakang kepala serta tiga jari tangan putus selain sebilah parang dijumpai di hadapan rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa datang ke rumah suspek kira-kira 2.30 petang tadi untuk membersihkan rumah sebelum dia dibunuh.

“Semasa kejadian hanya mangsa dan suspek berada di dalam rumah dan mayat mangsa yang lengkap berpakaian dipercayai dibunuh di antara ruang tamu dengan dapur,” katanya.

Sum berkata pihak polis dimaklumkan oleh keluarga suspek bahawa suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dipercayai mempunyai masalah mental.

“Mangsa pula bukan bekerja tetap di rumah itu sebaliknya hanya bekerja sambilan apabila dipanggil oleh keluarga untuk mencuci rumah,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata polis akan menyiasat motif kejadian dan mendapatkan keterangan lanjut daripada doktor serta laporan kesihatan suspek.

 

-Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password