Legenda rock pulangkan anugerah tanda protes Suu Kyi

Legenda rock Bob Geldof memulangkan anugerah “Kebebasan Kota Dublin” sebagai tanda protes ke atas penindasan masyarakat Muslim Rohingya selain mengkritik pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Vokalis Boomtowns Rats yang juga aktivis politik itu tidak berpuas hati ke atas cara Suu Kyi, yang juga seorang pemegang anugerah itu dalam menangani krisis Rohingya.

Menurut penyanyi Ireland itu, beliau tidak boleh berkongsi penghormatan berkenaan dengan Suu Kyi yang berdepan kecaman hebat kerana sikap berdiam diri ke atas pembunuhan masyarakat Rohingya.

Geldof tiba di bangunan Dublin City Hall pada Isnin bagi memulangkan anugerah itu.

“Aung San Suu Kyi dialu-alukan ke bandaraya ini dan saya juga adalah peserta acara itu tetapi rupa-rupanya dia adalah seorang pembunuh.

“Saya tidak mahu berada dalam senarai yang sama dengan apa disifatkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Sejujurnya saya tidak mahu mengembalikan anugerah ini kerana  bangga dengannya terutama apabila banyak diberi penghargaan oleh negara dan bandar lain di seluruh dunia.

“Saya dari Dublin dan anugerah ini cukup bermakna buat saya tetapi ini saja yang sekurang-kurangnya dapat saya lakukan,” katanya seperti dilapor CNN.

Sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan Suu Kyi digambarkan sebagai seorang wira Myanmar dan simbol demokrasi.

Tetapi kini Suu Kyi berdepan kecaman antarabangsa kerana gagal menyokong masyarakat Rohingya secara terbuka.

Terdapat segelintir pihak mendesak Hadiah Nobel Keamanan itu ditarik semula termasuk penerima paling muda anugerah berkenaan, Malala Yousafzai, 20.

Bagaimanapun, pemerhati politik lain berpendapat isu di Myanmar boleh mengakibatkan Suu Kyi hilang populariti dan kedudukannya sebagai pemimpin Myanmar sekiranya beliau tampil membela etnik minoriti berkenaan.

Suu Kyi setakat ini berkali-kali menafikan dakwaan pembersihan etnik dan terbabit melakukan penderaan hak asasi manusia ke atas Rohingya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password