K’jaan Thailand dedah lokasi Yingluck selepas keputusan mahkamah hari ini


GLOBAL Misteri mengenai di mana bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra berada berikutan “kehilangan”nya sebulan lalu, akan didedahkan oleh kerajaan selepas Mahkamah Agung membuat keputusan mengenai kesnya hari ini.

Menurut Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha, jurucakap kerajaan akan mengumumkan maklumat mengenai lokasi di mana beliau berada pada masa ini kepada rakyat Thai.

“Saya (kerajaan) akan memberitahu selepas 27 September (keputusan mahkamah) di mana dia berada. Harap bersabar,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.

Prayut berkata, kerajaan harus menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil sebarang langkah berkaitan dengan bekas perdana menteri, yang menjadi perdana menteri wanita pertama negara ini pada 2011 sebelum digulingkan pada Mei 2014.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata sebarang langkah yang dibuat kerajaan adalah selaras dengan kedaulatan undang-undang.

Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik di Mahkamah Agung Thailand akan menyampaikan keputusan mengenai kes pembabitan Yingluck dengan skim subsidi padi yang kontroversi, esok, di mana dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Mahkamah sepatutnya menyampaikan penghakimannya bulan lalu tetapi terpaksa menangguhkannya selepas bekas perdana menteri itu gagal hadir di mahkamah, sehingga mencetuskan spekulasi dia meninggalkan negara ini bagi menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah.

Sejak ketidakhadirannya di mahkamah bulan lepas, Yingluck, yang juga adik perempuan bekas perdana menteri dalam buangan, Thaksin Shinawatra, tidak pernah dilihat di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

Media membuat spekulasi bahawa dia menyelinap keluar dari Thailand melalui sempadan Kemboja, dua hari sebelum mahkamah bersidang, menaiki penerbangan ke Singapura dan Dubai kemudiannya bersama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di bandar di Timur Tengah.

Mahkamah dijangka menyampaikan keputusan tanpa kehadiran Yingluck kerana besar kemungkinan dia tidak akan hadir di mahkamah hari ini.

Perdana menteri Thailand itu juga menolak dakwaan media bahawa sebuah negara asing telah memberikan maklumat mengenai di mana Yingluck berada.
“Siapa yang akan memaklumkan anda (kerajaan Thai). Saya mempunyai detektif saya,” katanya sambil menambah bekas perdana menteri itu tidak mempunyai alasan untuk memohon suaka memandangkan prosiding undang-undangnya masih berjalan.

Sebagai persediaan untuk keputusan mahkamah hari ini, Prayut berkata pasukan keselamatan telah membuat persiapan seperti biasa.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password