K’jaan kenal pasti langkah kurangkan kesan kenaikan harga minyak

Kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak mentah dunia sekiranya harga runcit produk RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Kementerian Kewangan berkata langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Pada masa ini, kerajaan telah melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia.

“Langkah ini telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini dan menambah kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan, di samping gas masak (LPG).

Menurut Kementerian Kewangan, penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

Mekanisme penetapan adalah secara mingguan di mana purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya, katanya.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password