Kin Wah jadi pilihan pelakon pembantu terbaik Tempo

“Emak lu cantik enggak” merupakan antara dialog dilontarkan Chew Kin Wah aktor dari Malaysia yang membawa watak Koh Afuk dalam filem Cek Toko Sebelah hingga memenangi hati juri pada Festival Filem Tempo (FTT) semalam.

Kin Wah mencipta sejarah peribadi apabila berjaya membawa pulang gelaran Pelakon Pembantu Pilihan Tempo pada acara yang berlangsung di Jakarta itu.

“Maafkan bapak kerana enggak bisa buat ucapan kepada juri Festival Filem Tempo,” kata Kin Wah sewaktu menerima piala penghargaan.

Semasa berucap itu juga Kin Wah turut memberi penghargaan buat semua anggota produksi Cek Toko Sebelah yang diarahkan oleh Ernest Prakasa.

Filem berdurasi 98 minit itu diterbitkan pada 28 Disember lalu.

Watak Koh Afuk itu mengalahkan Fuad Idris dalam filem Bid’ah Cinta, Bront Palarae (Pengabdi Setan), Yayu Unru (Posesesif) dan Yoyo Daryono (Turah).

Menurut juri, watak dibawa Kin Wah dalam Cek Toko Sebelah nyaris dianggap sebagai peranan utama kerana kemunculannya sejak awal hingga ke akhir filem.

Juri Leila S Chudori yang membuat penilaian ke atas Kin Wah atau nama Islamnya, Anuar Chew Abdullah, 52, berkata Koh Afuk adalah karakter yang membawa definisi meluas.

Manakala Seno Gumira Ajidarma menyatakan adakalanya juri sukar menentukan siapa pemenang dalam semua kategori.

“Pendapatnya berbeza-beza,” katanya.

Kisah Koh Afuk

Berdiri dalam genre komedi, Cek Toko Sebelah menampilkan kisah Koh Afuk seorang pemilik kedai yang mahu menyerahkan perniagaannya kepada anaknya, Edwin lakonan Ernest Prakasa.

Idea filem itu dibuat berdasarkan realiti etnik Tionghoa yang menghantar anak belajar hingga ke menara gading tetapi akhirnya perlu bekerja di kedai milik orang tuanya sendiri.

Cek Toko Sebelah adalah filem Indonesia kedua yang mengharumkan nama Kin Wah di negara jiran itu.

Aktor itu sebelum ini pernah membarisi filem My Stupid Boss bersama Reza Rahadian dan Bunga Cinta Lestari.

Kin Wah pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem sama di Indonesian Box Office Movie Awards 2017 (IBOMA 2017) yang berlangsung Mac lalu di Jakarta.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password