Ketua CID S’ngor akan hadir inkuiri Suhakam

Ketua CID Selangor Fadzil Ahmat dipanggil hadir sebagai saksi dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap dakwaan penculikan Pastor Raymond Koh dan kehilangan tiga orang lagi.

Fadzil yang mengetuai pasukan khas menyiasat dakwaan penculikan Koh akan menjadi pegawai kanan polis kedua yang akan hadir di hadapan panel inkuiri yang dipengerusikan mantan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjadi saksi kelima inkuiri telah disoal selama lima jam bermula kira-kira jam 11 pagi ini.

Melalui keterangan yang diberikan, Khalid berulang kali enggan menjawab soalan khusus yang ditanyakan berhubung siasatan polis kes-kes berkaitan dan berkata para peguam yang mewakili keluarga Koh patut bertanya soalan tersebut kepada Fadzil.

Khalid berkata beliau berhak untuk tidak menjawab soalan berkaitan suspek kerana siasatan kes masih berjalan dan suspek mungkin akan di tahan.

Apabila Mah bertanyakan Khalid siapa yang tahu jawapan terhadap soalan-soalan itu, Khalid berkata, “ketua CID Selangor yang juga mengetuai pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan Koh.”

Selain itu, peguam Jerald Gomez cuba untuk menyoal Khalid berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dilaporkan berbagai media berkenaan perkembangan seputar penyiasatan polis terhadap dakwaan penculikan Koh.

Ini termasuklah soalan berhubung kenyataan Khalid yang dilaporkan pada bulan Julai 2017 bahawa tiga individu ditahan berhubung kaitan dengan kes ini dan dakwaan kaitan mereka dengan kumpulan yang berpengkalan di Selatan Thai.

Awalnya, ketika menjawab soalan, Khalid berkata beliau ‘diberi taklimat’ sebanyak dua kali.

“Saya cuma diberi taklimat mengenai kes ini oleh Fadzil. Taklimat pertama selama 10 minit beberapa minggu selepas kejadian berlaku.

“Kali kedua selama kira-kira 10 ke 15 minit juga oleh Fadzil,” kata beliau.

Kehilangan secara paksa

Pagi ini, Khalid juga enggan menjawab soalan peguam Datuk Gurdial Singh Nijhar yang cuba membandingkan di antara kehilangan Koh dengan Amri Che Mat, seorang aktivis yang hilang.

Pendengaran inkuiri akan bersambung pada Khamis 2 November 2017 ini dengan Fadzil bersama dua orang lagi pegawai polis dijangkakan akan tampil memberi keterangan.

Inkuiri Suhakam ini menyiasat kehilangan Koh, aktivis Amri, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy serta menentukan sama ada kes-kes ini kehilangan secara paksa sebagaimana yang ditakrifkan oleh International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED).

Konvensyen ini diterima oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2006 tetapi Malaysia bukanlah pihak dalam konvensyen tersebut.

Ia mentakrifkan kehilangan secara paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.

[Baca berita penuh]



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password