Kes curi telefon di Low Yat: Mahkamah Rayuan bebaskan pemuda

 

Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pemuda berumur 25 tahun daripada pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat pada 2015.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan rayuan Shahrul Anuar Abdul Aziz untuk mengetepikan sabitan terhadapnya iaitu penjara empat bulan dan denda RM1,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret.

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah berpandangan bahawa rayuan Shahrul Anuar mempunyai merit oleh kerana mahkamah (Mahkamah Rayuan) mendapati majistret melakukan salah arah undang-undang serius yang boleh membawa kepada salah laksana keadilan.

“Kalau awak buat… taubat, kalau tak buat ini, dugaan Allah,” kata Mohtarudin kepada Shahrul Anuar.

Mohtarudin berkata rayuan balas pendakwaan terhadap kekurangan hukuman penjara juga dibatalkan memandangkan rayuan Shahrul Anuar telah dibenarkan.

Pada 24 Mei 2016, Shahrul Anuar didapati bersalah oleh mahkamah majistret dan dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri telefon bimbit dalam jagaan pekedai, See Ming Ho di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 5 April tahun lepas.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Shahrul Anuar memberitahu mahkamah anak guamnya tidak kena mengena dengan insiden rusuhan kaum yang dikatakan berlaku di Plaza Low Yat, dan menambah, insiden itu diwujudkan oleh orang lain dan anak guamnya pula terperangkap di tengah-tengah.

Beliau berhujah majistret terkhilaf dalam asas penghakimannya ketika mendapati Shahrul Anuar melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan dan memerintahkannya membela diri.

Katanya ini disebabkan majistret telah membuat kesimpulan bahawa Shahrul Anuar bersalah seperti yang didakwa sedangkan dia belum pun membela diri.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berhujah terdapat bukti yang terlalu banyak untuk mengenakan sabitan terhadap Shahrul Anuar, dan menambah, tiada sebarang salah laksana keadilan terhadapnya.

– Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password