Kebebasan beragama termasuk kebebasan tak beragama

Jaminan kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan adalah termasuk kebebasan untuk menjadi seorang ateis, kata beberapa peguam kepada Malaysiakini.

Mereka mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa kebebasan beragama bukanlah kebebasan untuk tidak memiliki agama.

Asyraf juga mengatakan bahawa adalah tidak berperlembagaan untuk menyebarkan agama yang tidak sesuai dengan Malaysia.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, perlembagaan turut melindungi kebebasan untuk tidak beragama.

“Hak kebebasan seseorang menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan menyebarkannya, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, adalah sama kebebasan untuk tidak menganut dan mengamalkan mana-mana agama dan menyebarkan ideologi kepercayaan atau amalan sebegitu.

“Tidak ada peruntukan dalam perlembagaan yang menjadikannya wajib untuk menganut dan mengamalkan sesuatu agama. Saya percaya setakat ini tiada siapa yang dikenakan atau dihukum kerana tidak mempercayai atau (tidak) mengamalkan agama,” kata Varughese (gambar).

Peguam Syahredzan Johan, Fadiah Nadwa Fikri dan Eric Paulsen turut menyatakan pendirian yang sama.

Paulsen, yang merupakan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty, mengkritik tafsiran Asyraf mengenai perlembagaan.

‘Timbalan menteri tidak faham’

“Cara timbalan menteri menafsirkan kebebasan beragama adalah pandangan literal terhadap perlembagaan. Perlembagaan tidak ditafsirkan seperti itu dalam tradisi demokrasi liberal.

“Saya fikir timbalan menteri tidak memahami titik asas perlembagaan. Artikel-artikel ini adalah untuk melindungi rakyat. (Tidak boleh) menggunakan semua amalan ini untuk menindas orang,” kata Paulsen.

Selain mengatakan ateisme dan penyebarannya tidak berperlembagaan, Asyraf menyatakan bahawa perlembagaan melarang penyebaran agama, kepercayaan atau doktrin lain kepada umat Islam di negara ini seperti yang dinyatakan dalam Perkara 11 (4).

Asyraf (gambar) juga memberi amaran bahawa “tindakan boleh diambil” terhadap mereka yang menyebarkan sesuatu kepercayaan di bawah Akta Hasutan 1948.

Fadiah Nadwa pula memberi amaran terhadap penggunaan undang-undang untuk menindas golongan minoriti seperti ateis dan mengatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dengan kepercayaan individu.

Sementara itu, Syahredzan menegaskan bahawa meskipun jika ateis tidak berperlembagaan – satu kenyataan yang tidak dipersetujuinya – ini tidak bermakna ia menyalahi undang-undang.

“Ia bukan satu jenayah melainkan ada undang-undang tertentu yang menyatakan menjadi ateis melanggar undang-undang. Melibatkan sesuatu yang tidak berperlembagaan bukan satu jenayah,” jelasnya.

Bagaimanapun, peguam itu bersetuju bahawa mempromosikan ateisme kepada orang Islam secara teknikal adalah dilarang di Malaysia.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password