“Kami Sekeluarga Reda Dengan Hanya Sempat ‘Dipinjamkan’ Allah Selama 55 Hari.” Baru Sehari Di Taska, Bayi Usia 55 Hari Meninggal Dunia Selepas Hidungnya Berdarah Ketika Tidur..

“Kami Sekeluarga Reda Dengan Hanya Sempat ‘Dipinjamkan’ Allah Selama 55 Hari.” Baru Sehari Di Taska, Bayi Usia 55 Hari Meninggal Dunia Selepas Hidungnya Berdarah Ketika Tidur..

 

 

Shah Alam: “Walaupun tidak tahu punca sebenar kematiannya, kami sekeluarga reda dengan hanya sempat ‘dipinjamkan’ Allah selama 55 hari,” kata Mohd Shazwan Mohd Yusoff, 34 lapor Harian Metro.

Anaknya, Muhammad Rais Hafiy Mohd Shazwan meninggal dunia selepas hidungnya berdarah ketika tidur di sebuah taska di Seksyen 7 di sini, Selasa lalu.


Mohd Shazwan berkata, ketika kejadian dia dan isterinya baru pulang dari tempat kerja dan mahu mengambil dua lagi anak mereka iaitu Muhammad Raziq Hanan, 3, dan Muhammad Rais Hafiy, kira-kira jam 6 petang.

“Melihat hidung Rais berdarah ketika tidur dan tidak sedarkan diri, kami segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Namun, Allah lebih menyayanginya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sekeluarga masih terkejut kerana bayi itu baru sehari dihantar ke pusat jagaan berkenaan.

“Pada malam kejadian, isteri (Nurul Ashikin Ahmad Rithauddin, 29) hanya tidur sejam berikutan terlalu bimbang dan berasa tidak sedap hati untuk menghantar Rais ke taska.

“Namun, isteri perlu berada di pejabat berikutan menguruskan kerja yang tertanggung ketika cuti berpantang sebelum ini,” katanya.


Kata Mohd Shazwan, dia tidak menyalahkan taska itu berikutan laporan bedah siasat menunjukkan tiada kesan lebam atau kecederaan.

“Bagaimanapun, kami perlu menunggu keputusan sampel hasil ujian yang sudah dihantar ke makmal untuk mengenalpasti punca kematian.

“Doktor memaklumkan ia akan diperoleh dalam tempoh sebulan dan kami kini tidak boleh menuding jari kepada sesiapa,” katanya.


Jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas Zuhur di Masjid Ar-Rayyan, Seksyen 7 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan pihaknya.

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password