Kalau ikutkan hati nak tarik semua

 

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berasa dukacita dengan tindakan sesetengah artis bergelar yang terbabit dalam perbuatan mencemar anugerah yang ada pada mereka.

Menurut Tengku Abdullah setiap penerima anugerah daripada pihak istana Pahang sepatutnya tahu mereka terikat dengan syarat dan etika tertentu.

Mengakui kesal dengan apa yang berlaku baginda enggan memberi kenyataan lebih lanjut sebaliknya menasihati penerima anugerah terbabit berkelakuan sewajarnya.

“Saya tidak mahu cakap terlebih… kalau ikut hati, hendak tarik semua tapi kena ikut prosedur.

“Kalau (mereka) sudah sedar dan pulangkan sendiri (darjah kebesaran) itu lebih bersopan,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa kebakaran di Sungai Isap 2, Kuantan, Pahang.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Datuk Farid Kamil didakwa dengan empat tuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Pulang lebih baik

Antara lain pelakon V3 Samseng Jalanan itu didakwa berkelakuan tidak senonoh serta menyerang dan menyebabkan kecederaan ke atas dua individu, masing-masing seorang anggota polis dan orang awam.

Kejadian itu berlaku di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, minggu lalu.

Farid kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM12,000.

Pelakon dan pengarah berusia 37 tahun itu menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 16 Dis 2017.

Turut menerima anugerah sama ialah pelakon kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz.

Tengku Abdullah berkata pihak istana tidak berniat mahu menghukum mana-mana pihak dengan kenyataan itu.

“Kita bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah,” katanya.

Sementara itu Kosmo! melaporkan, Tengku Abdullah berkata terpulang kepada Farid sama ada mahu memulangkan gelaran itu atau tidak.

“Kalau dia sedar dan dia hendak pulangkan, itu lebih baik,” katanya.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password