Kaki turun demo, tapi tangan yang memangkah


Sambutan hambar komuniti Cina terhadap himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” sememangnya telah dijangka, dan hanya perlu menunggu masa sehingga 14 Oktober 2017 untuk dibuktikan ramalan ini.

“Tidak hadir bukan bermakna tidak sokong (Pakatan Harapan),” demikianlah hujah sama ada untuk menyanggah propaganda bahawa “sokongan Cina telah kembali kepada BN”, ataupun untuk meredakan keresahan bahawa pengundi Cina bukan lagi deposit pembangkang.

Ada asasnya hujah sedemikian – komuniti Cina akan menjelmakan sokongannya dengan tangan yang memangkah Pakatan Harapan dalam PRU14, dan bukannya dengan kaki yang turun ke himpunan jalan raya, apatah lagi Padang Timur di tepi jalan raya. Keletihan antara alasannya, kerana bukan mudah untuk mengekalkan stamina sokongan padu terhadap pembangkang berturut-turut untuk tempoh satu dekad. Lebih-lebih lagi, setelah mencurahkan segala keringat yang ada, Najib-Umno-BN tetap tersergam megah.

Namun, kehadiran komuniti Cina yang rendah dalam himpunan mega HARAPAN ini tetap satu fenomena yang penting untuk dikupas. Seandainya post-mortem HARAPAN menyimpulkan bahawa sambutan hambar komuniti Cina disebabkan kelemahan teknikal iaitu gerak kerja publisiti yang lemah, maka ia hanya menyentuh faktor luaran, tanpa menyelami faktor teras – sama ada sengaja ataupun tidak.

Biar kita imbas pengalaman lalu ketika menjelang PRU13. Apa-apa sahaja himpunan mahupun aktiviti yang dianjurkan sebagai protes terhadap penguasa (BN), sambutannya cukup hangat. Tidak dinafikan bahawa parti pembangkang memainkan peranannya, tetapi ia tidak sempurna tanpa gerak kerja NGO, atau rakyat jelata yang menyahut dan menyebarkan mesej. Keghairahan ini bagai jangkitan yang menular, dan momentum yang datang bergolek ini semakin bertambah. Ia membentuk satu suasana di mana semua orang rasa “terpanggil” untuk melakukan sesuatu, pantang “ketinggalan” untuk mencipta sejarah.

Persoalannya, mengapa “keghairahan” ini meluntur?

Keghairahan meluntur

Landskap politik Malaysia mengalami rombakan yang besar pasca PRU13. Anehnya sesetengah pembangkang tidak menyedari perubahan ini, malah masih mengitar-semula hujah politik yang lapuk. Mereka bermegah bahawa perjuangannya berprinsip, menabur janji bahawa urus tadbir mereka lebih baik daripada BN seandainya diberi mandat untuk memerintah. Pendek kata, masa depan Malaysia akan menjadi lebih baik jikalau diserahkan ke tangan Pakatan Harapan.

Namun demikian, keberkesanan hujah politik sebegini terbatal begitu sahaja sejurus kemasukan Dr Mahathir Mohamad bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke dalam HARAPAN. Bagaimana HARAPAN boleh mendakwa bahawa perjuangannya berlandaskan prinsip untuk menolak rasuah, menghapuskan perkauman, mempertahankan hak asasi manusia, menegakkan keadilan, dengan satu ikon yang jelas tercalit dengan rekod lama sepanjang 22 tahun pemerintahannya?

Bukan hasrat saya untuk berbahas di sini sama ada Mahathir dan BERSATU harus diterima atau tidak ke dalam HARAPAN. Apa yang ingin ditegaskan, hujah politik yang digunakan sebelum ini, hilang mujarabnya untuk menawan hati penyokong tradisional pembangkang setelah pintu dibuka untuk Mahathir dan BERSATU, malah tetamu ini terus diangkat menjadi tuan rumah kepada HARAPAN, tanpa syarat misalnya memohon maaf ke atas kepincangan yang pernah dilakukannya ke atas institusi dan sistem negara.

Justeru itu, hujah pemimpin HARAPAN mudah ditangkis oleh BN dan “pembangkang” yang sewaktu dengannya. HARAPAN hilang asas moral untuk mengkritik rasuah, kronisme, nepotisme, ketidakadilan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Cuba bayangkan, bukankah ia ironi apabila pemimpin HARAPAN mendakwa bahawa perjuangannya berprinsip, berlatarbelakangkan kain rentang yang memaparkan wajah Mahathir?

Kedua, pembangkang tidak memiliki pengalaman untuk memerintah, kecuali PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum tahun 2008. Maka dirayu agar pengundi memberi peluang kepada pembangkang untuk membuktikan kebolehan urus tadbirnya. Kini HARAPAN (atau Pakatan Rakyat sebelumnya) telah memerintah negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk hampir dua penggal. Semakin lama tempoh pemerintahan, semakin sukar kerajaan negeri HARAPAN meletakkan tanggungjawab sesuatu kesalahan di bahu pemerintah BN sebelumnya.

Jikalau dahulu pembangkang berceramah, “Berikan mandat kepada kami untuk memerintah, insya-Allah masalah banjir akan kami selesaikan dalam tempoh satu penggal!”, sudah tentu ia akan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh penyokongnya. Namun, dengan banjir yang berlaku di Pulau Pinang, dan beberapa kawasan di Selangor seperti Kajang, apakah pemimpin HARAPAN masih bermuka tebal untuk menabur janji sedemikian?

Lebih-lebih lagi dalam kes yang cukup mencurigakan – Jikalau banglo Zakaria Md Deros antara punca tumbangnya kerajaan negeri BN di Selangor pada tahun 2008, bagaimana pula dengan banglo Adam Rosly yang tidak kurang mewahnya sekarang? Malah, jangan dipandang remeh isu pembelian banglo dengan harga yang lebih rendah dari pasaran oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Sememangnya pendakwaan ke atas setiausaha agung DAP ini bersifat selektif, dan Guan Eng tidak semestinya bersalah daripada segi undang-undang. Cuma, dari segi etikanya, bukankah ia juga boleh dipertikaikan?

Setakat ini, penyokong tegar pembangkang hanya mampu berhujah, “Kamu tidak bising skandal RM2.6 bilion, tetapi kamu bising dengan isu sekecil ini?” Hujah ini ada asasnya, kerana rasuah terbesar dan berlaku di depan mata perlu ditangani segera. Persoalannya, apakah kita harus memejamkan mata terhadap sebarang kes yang lebih rendah nilainya berbanding RM2.6 bilion? Ini yang menyebabkan kesungguhan HARAPAN membanteras rasuah dipertikai. Malah mereka yang sinis, terus menuduh, “Dua kali lima saja.”

Masa depan yang lebih baik?

Ketiga, apakah pengundi boleh diyakinkan dengan masa depan yang lebih cerah, seandainya HARAPAN memerintah? Kelicikan politikus sudah tidak asing untuk kita. Kita tidak harus berniat jahat untuk bersikap sangsi dengan PPBM, seolah-olah parti politik yang lain lebih “suci” perjuangannya. Namun mereka yang jujur dan tidak pandai berbohong atau gagal menyelindungi kebimbangannya, akan mengaku bahawa gandingan HARAPAN sebenarnya agak rapuh. Jikalau gandingan sekukuh Pakatan Rakyat pun hanya bertahan untuk tujuh tahun, apakah HARAPAN yang menampakkan perbezaan nyata di kalangan parti komponennya, boleh bertahan lebih lama?

Pemimpin HARAPAN yang jujur akan berkata, kami akan teruskan perjuangan sungguhpun jikalau satu hari nanti kami dikhianati Mahathir. Sememangnya senario politik kita tersepit dalam kebuntuan pada hari ini, dan ia sarat dengan pelbagai kemungkinan pada masa depan. Boleh jadi BERSATU berbaik semula dengan Umno, atau AMANAH kembali kepada PAS, wakil rakyat PKR terus melompat, malah DAP bekerjasama dengan Umno untuk menggantikan MCA dalam BN. Siapa berani menepuk dada dan berkata “mustahil” dalam politik?

Tidak ramai yang boleh menerima hakikat bahawa inilah dilema politik yang kita hadapi sekarang. Rakyat jelata kebanyakannya menuntut satu jawapan daripada pemimpin politik, kerana menganggap diri mereka tidak berada pada tempatnya untuk menyelesaikan masalah. Tetapi bukan semua dilema ada penyelesaiannya yang sempurna. Situasinya bertambah parah apabila pemimpin pembangkang terjerat dalam perbalahan sesama diri yang tidak berpenghujung.

Jurang pembangkang-rakyat

Tulisan ini tidak berhasrat untuk menyindir bahawa pembangkang tidak berprinsip dalam perjuangan mereka, atau menafikan prestasi positif pentadbiran kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor. Tujuannya untuk memperlihatkan jurang antara penampilan pemimpin HARAPAN dengan persepsi rakyat yang semakin lebar, khususnya komuniti Cina. HARAPAN tidak boleh lagi berfantasi di dalam dunia sendiri, menganggap perjuangannya suci dan sesiapa yang mempersoalkan HARAPAN adalah pengkhianat dan tali barut Umno-BN.

Padahal budaya label-melabel ini juga subur di kalangan penyokong tegar HARAPAN. Tahap fanatik penyokong Cina DAP tidak kurang berbanding penyokong PAS mahupun tentera siber Umno-BN. Kumpulan inilah yang akan menyanggah sebarang pertikaian, dan menyerang sesiapa yang mengkritik pemimpin atau partinya.

Namun sikap dan tingkah laku sedemikianlah yang menjarakkan HARAPAN daripada pengundi atas pagar. Perlu diingatkan, bahawa HARAPAN boleh mempertahankan kerusi tertentu di kubunya dengan penyokong tegar. HARAPAN hanya boleh menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen, apabila mendapat sokongan pengundi atas pagar. Jikalau perhitungan ini dilanjutkan, HARAPAN hanya boleh memerintah seandainya penyokong BN juga memberi undinya kepada HARAPAN.

Kemeriahan suasana BERSIH3 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 hanya mencukupkan Pakatan Rakyat untuk menafikan dua pertiga BN dalam PRU13, lantaran kepincangan sistem pilihan raya. Akhirnya, dengan suasana Himpunan Sayangi Malaysia Tolak Kleptokrasi pada 14 Oktober 2017, bukankah ia satu petanda bahawa lebih banyak kerja yang harus HARAPAN lakukan, jikalau sasarannya untuk menumbangkan Najib-Umno-BN dalam PRU14, yang bakal diadakan lebih kurang setahun dari sekarang?


LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password