KAJI SEMULA NILAI RUMAH MAMPU MILIK – BERITA HARIAN – 20/11/17

ARTIKEL BERITA OLEH : BERITA HARIAN

 

(BH) Kaji semula nilai rumah mampu milik 20.11.17

 

Keputusan membekukan sementara pembinaan kondominium mewah dilihat wajar, jika kerajaan mampu meningkatkan kecekapan pembinaan dan peruntukan rumah mampu milik untuk rakyat.

Kerajaan juga diminta mengkaji semula nilai rumah mampu mampu milik yang ditetapkan pada paras RM250,000 seimbang pendapatan rakyat, khususnya mereka yang tergolong dalam kelompok pertengahan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman berkata kebanyakan hartanah kediaman dilaporkan Bank Negara Malaysia tidak terjual bernilai RM250,000 ke atas.

Katanya, ini membayangkan kemampuan rakyat dan indikasi bahawa penawaran kediaman hartanah adalah tidak seimbang dengan permintaan rumah mampu milik dalam kalangan majoriti rakyat di negara ini.

“Langkah pembekuan wajar sebab banyak yang tak laku, tapi kerajaan juga perlu lihat tahap kemampuan dan pendapatan rakyat dalam keadaan ekonomi sekarang (dalam konteks rumah mampu milik),” katanya.

Beliau mengulas keputusan kerajaan membekukan sementara pembinaan baharu bagi kondo, pejabat dan projek komersial bernilai RM1 juta bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.

Keputusan ditetapkan Kabinet pada 1 November lalu itu diumum Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis penyampaian sumbangan persekolah anjuran PLUS di Parlimen Titiwangsa di sini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman, tidak yakin langkah itu akan merancakkan rumah mampu milik kerana pemaju mempunyai kelompok pembeli berbeza.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya mengkaji semula harga rumah mampu milik itu dan meningkatkan tahap kecekapan pembinaan dan peruntukan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, bukan semua pihak mampu membeli rumah bernilai RM250,000 seunit, kecuali individu yang mempunyai pendapatan RM5,000 ke atas memandangkan kos hidup rakyat semakin meningkat ketika ini.

 

 

 

KAJI SEMULA NILAI RUMAH MAMPU MILIK – BERITA HARIAN – 20/11/17 was last modified: November 20th, 2017 by Hafizi



Sumber : PPIM

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password