Jualan sate Kajang melambung kerana MRT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak percaya bahawa projek infrastruktur atau “infra-rakyat” seperti projek Transit Aliran Massa (MRT) menjadi sebab utama jualan sate di Kajang melonjak.

“Saya diberitahu di Kajang hari ni penjualan sate melambung dengan adanya MRT,” katanya.

Dalam ucapan pembukaan di Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka malam ini, Najib menyatakan kerajaan sentiasa mempunyai perancangan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

“Sebagai sebuah kerajaan kita nak rakyat menilai, segala yang kita lakukan dalam bentuk infra rakyat.

“Sebab tu saya tukar istilah bukan lagi infrastruktur – kemudahan asas tapi infra rakyat kerana apa sahaja kita lakukan adalah untuk rakyat,” katanya.

Fasa kedua laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dilancarkan bulan Julai lalu.

Ketika pelancaran projek berkenaan, Najib berjanji bahawa ia akan menjadi permulaan kepada banyak projek untuk rakyat di negara ini.

Dalam ucapannya, Najib menyebut mengenai pemilik kedai di sepanjang Bukit Bintang memprotes projek MRT semasa peringkat awal perancangannya enam tahun lalu.

“Saya beritahu projek ni takkan mengganggu pemilikan kedai-kedai mereka.

“Malah saya kata kalau dengan adanya MRT ini, nilai kedai tuan-tuan tu akan meningkat jauh lebih tinggi

“Hari ni saya diberitahu mereka semua berpuas hati dengan adanya MRT. Malah, ramai yang datang jumpa saya, menyesal, (kawasan) mereka tak ada laluan MRT,” katanya.

Najib menambah projek pengangkutan awam itu bukan satu pencapaian mudah kerana banyak negara masih belum dapat melaksanakannya.

“Banyak negara lain sebut nak (buat) MRT sendiri, banyak, saya tak mahu sebut mana. Tapi hari ni bayang pun tak nampak.

“Kita bila kita janji bukan sahaja buat tapi siap lebih awal dengan kos penjimatan RM2 bilion.

“Justeru, kalaulah MRT kita boleh buat, takkan yang lain kita tak boleh buat,” ujarnya.

‘US, China hormat kita’

Bercakap lebih lanjut, Najib berkata kerajaan bukan sahaja menyediakan kemudahan tetapi juga memastikan masa depan rakyat terjamin.

“Rakyat boleh berasa optimis, yakin bahawa masa depan mereka berada dalam tangan mereka yang mampu membawa mereka jauh ke hadapan sebagai sebuah kerajaan.

“Pendek kata, your future is in good hands (Masa depan kamu berada dalam keadaan baik).

“Tak payah pandang kiri, tak payah pandang kanan, tak payah termakan janji apatah lagi hasutan kebencian yang dibawa pihak berkenaan,” katanya.

Mengulas penyertaan kerajaan dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini, Najib berkata ia membuktikan Malaysia berjaya di pentas antarabangsa.

“Pemimpin dunia menghormati kita, Presiden China, US, PM lain semua menghormati kita.

“Yang tak hormat kita satu dua ekor sahaja dalam negara,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password