‘Jika rang undang-undang cukai lulus, adakah Najib dedah urusan 1MDB?’

 

Parlimen | Anggota parlimen DAP hari ini mempersoal sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak agar mendedahkan transaksi luar negaranya berhubung skandal 1MDB sekiranya rang undang-undang baru percukaian dilaksanakan.

Ketika perbahasan Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) Rang Undang-undang 2017 di Dewan Rakyat hari ini, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) mempersoal sama ada LHDN akan mendesak pembayar cukai mendedahkan transaksi luar, dan sekiranya ya, adakah hal sama akan dilakukan kepada perdana menteri.

“Jika ini tujuan rang undang-undang itu, adakah LHDN akan mengeluarkan surat (kepada Najib) untuk mendedahkan akaunnya, yang berkait dengan 1MDB di Singapura, Switzerland, UK atau AS?” soal Chong.

Chong membangkitkan perkara itu selepas menggambarkan kesungguhan LHDN mengejar pihak yang gagal membayar cukai pendapatan baru-baru ini.

“Jika kita mahu kuatkuasakan undang-undang, pegawai penguatkuasa perlu adil dan tidak cuma menekan rakyat biasa sedangkan tidak buat apa-apa terhadap mereka yang mempunyai kuasa,” katanya.

Rang undang-undang itu merangkumi pertukaran maklumat secara automatik atau penyediaan laporan mengikut negara yang mengumpulkan maklumat transaksi yang dilakukan di bidang kuasa percukaian negara lain.

Kegagalan menyediakan laporan ini – yang diperlukan bagi membantu operasi aturan cukai berganda atau pertukaran maklumat cukai – akan menjadi satu kesalahan di bawah pindaan itu.

Dalam penggulungan hujahnya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz mengakui sekiranya rang undang-undang itu diluluskan ia akan turut memberi kesan kepada urusan dan hal-hal yang terjadi sebelumnya.

“Bandar Kuching tanya sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, sama ada jadi tugas atau tanggungjawab individu untuk mendedahkan transaksi tujuh atau lapan tahun lalu kepada agensi cukai asing.

“Saya rasa ia akan bergantung kepada maklumat yang diperlukan oleh negara yang berkenaan,” kata Othman.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password