‘Jangan syarikat longkang menyamar jadi pengiat seni’

Kerajaan semalam menerusi Bajet 2018 mengumumkan peruntukan hampir RM20 juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) bagi mengangkat mutu dan menerajui pembangunan seni budaya ke tahap lebih tinggi.

Kepada segelintir pihak, peruntukan itu membawa pengertian besar kepada diri mereka untuk memajukan diri sebagai penggiat seni.

Namun penulis, penulis lirik dan budayawan Hasmi Hashim berpendapat peruntukan itu terlalu kecil bagi membantu pembangunan sektor seni budaya, khususnya dalam bidang perfileman.

“Peruntukan berkenaan jelas tidak termasuk sumbangan membabitkan bidang perfileman yang dilihat mampu memberi sumbangan besar kepada negara,” kata penulis lirik lagu Awan Nano itu.

Hasmi berharap Cendana tidak mengulangi kesilapan terdahulu apabila peruntukan yang disediakan menjadi rebutan pihak yang tiada kaitan dengan seni budaya.

“Kita tidak mahu syarikat membaiki longkang menyamar sebagai penggiat budaya yang mana akhirnya duit habis tetapi matlamat mengangkat seni budaya sebagai sebuah industri utama tetap juga gagal,” katanya kepada Malaysiakini.

Cendana yang dilancarkan pada September lalu ditubuhkan kerajaan menerusi MyCreatives Ventures berpandukan wawasan membina ekonomi kebudayaan pesat berkembang dan penuh inspirasi bagi Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk dikongsikan bersama seluruh rakyat dengan menumpukan usaha menyokong pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif serta memperomosikannya kepada khalayak yang lebih luas.

‘Fikir cara baru’

Sementara itu, pengarah dan pelakon Ahmad Idham pula turut bersikap sinikal terhadap peruntukan yang diberikan sebelum ini sedangkan menurutnya industri hiburan ‘tidak ke mana-mana’. 

“Cuba kita bertanya selama ini apa yang telah dibuat dengan bajet terdahulu? Banyak sudah diberi sebelum ini tetapi industri tidak ke mana-mana.

“Oleh itu kita harus fikirkan kali ini bagaimana untuk maju dan kembangkan industri dengan cara baru dan terbaik,” katanya.

Pelakon Pyanhabib Rahman pula secara berseloroh mengandaikan dirinya sebagai perdana menteri apabila ditanya mengenai responnya terhadap bajet seni budaya 2018.

Mengambil contoh Taman Ismail Marzuki di Indonesia, Pyan berkata dia mahu penggiat seni memiliki pusat kegiatan sendiri sebagai tempat untuk bertemu dan berbincang.

“Tak payah cendana-cendana. Kalau saya perdana menteri Malaysia saya akan laksanakan idea dari kepala saya ini yang berlegar sejak berpuluh-puluh tahun.

“Istana budaya, Balai Seni Lukis Negara dan Perpustakaan Negara dalam satu kawasan dinaikkan taraf sebagai kompleks budaya negara. Ambil contoh Taman Ismail Marzuki.

“Setiap orang yang berasa diri dia seniman datang dari pelbagai cabang seni, boleh lepak dan persembahkan karya dengan bebas dan santai,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password