Jamal nak jual ikan di demo antikleptokrat

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhasrat mengadakan jualan ikan di himpunan antikleptokrat Pakatan Harapan (HARAPAN) di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu ini.

“Benar. Saya akan mulakan jualan pada tengah hari,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu laporan berlainan, Jamal berkata himpunan itu dianjurkan seperti pesta dengan ramai peniaga dijangka mengambil bahagian menjual barangan mereka.

“Sebab itu saya rasa tidak perlu memohon permit,” katanya seperti dipetik Berita Daily.

Bulan lalu, ahli politik yang terkenal dengan gimik yang mengundang kontroversi itu menjual pelbagai jenis ikan pada harga RM5 sekilogram.

Ia sebagai protes kepada orang tengah yang didakwanya bertanggungjawab terhadap kenaikan harga ikan. Jamal mendakwa orang tengah itu menyokong pembangkang dan menaikkan harga ikan atas tujuan politik.

Tengah hari tadi, Jamal berkata akan tetap mensasarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan acara anjurannya yang dinamakan “Pesta DAP” – Dapat Aiskrim Percuma.

“Kami akan mengadakan kempen ini setiap hari di Selangor sehingga Azmin menyatakan pendirian secara jelas berhubung pesta arak.

“Dan saya juga mengedarkan ais krim buatan tempatan ini, agar orang lain juga mendapat manfaat,” katanya di pusat membeli-belah Ampang Point di Kuala Lumpur tadi.

Destinasi seterusnya program itu adalah Gombak, kawasan parlimen Azmin sendiri, pada malam ini.

Jamal pertama kali mengumumkan rancangannya untuk mengadakan festival ais krim selepas dibebaskan daripada tahanan polis minggu lalu, sebagai “alternatif” kepada pesta arak.

Beliau ditahan berikutan aksi memecahkan botol arak di hadapan pintu utama bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password