Jamal ditangkap selepas aksi pecahkan botol arak

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos ditangkap malam tadi berkaitan aksinya memecahkan botol arak di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam semalam.

“Saya telah dikepung dan ditangkap oleh pihak polis di Sekinchan setelah selesai mesyuarat Umno bahagian.

“Bagi saya ianya adalah satu tindakan yang keterlaluan. Sekarang onway (dalam perjalanan) ke IPD Shah Alam,” katanya dalam satu mesej teks malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan dalam satu kenyataan hari ini bahawa Jamal dan tujuh lagi lelaki di sekitar Sekinchan kira-kira jam 1.45 pagi ini.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam.

Menurutnya, polis akan memohon perintah reman ke atas kesemua mereka yang ditahan di Mahkamah Shah Alam pagi ini.

Pagi semalam, Jamal telah membawa beberapa peti minuman keras dan memecahkannya dengan tukul besi di hadapan bangunan itu, sebagai membantah sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Polis mengesahkan kemudian bahawa laporan polis mengenai insiden itu telah dibuat dan pihak polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun secara haram.

Jika didapati bersalah, Jamal berdepan dengan hukuman penjara enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya.

Dia juga dalam siasatan bulan lepas untuk aksi lain di mana dia bertindak memecahkan meja dengan tukul besi, sebagai protes “simbolik” terhadap kerajaan negeri yang didakwa gagal bertindak terhadap pusat judi haram.

[Baca berita penuh]

 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password