Ibu Iqbal tak kisah jika Vida jadi menantu

Ibu kepada pembantu Datuk Seri Vida dilaporkan tidak terkesan dengan spekulasi sedang bertiup kencang mengenai hubungan anaknya dengan jutawan kosmetik itu.

Jika ditakdirkan sudah jodoh, wanita terbabit tidak keberatan bermenantukan bos kepada anaknya sendiri.

“Saya tidak akan menghalang jika ditakdirkan Datu Seri Vida menjadi menantu saya,” kata Maznuni Che Yusof.

Sebagai ibu, Maznuni, 49, yakin bahawa Ahmad Iqbal, 23, seorang lelaki yang baik dan menegaskan keakraban anak lelakinya itu dengan Vida tidak lebih daripada hubungan antara pekerja dengan majikan.

“Soal jodoh adalah ketentuan Allah, yang penting menjaga amanah yang diberi Datuk Seri Vida.

“Saya tahu Iqbal anak yang baik, jika ada jodoh antara mereka, adalah.

“Saya tidak terkesan dengan cerita orang terhadap anak saya, sebab saya kenal Iqbal macam mana,” katanya seperti dipetik BH Online.

Sejak Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman kembali solo pada 7 April lalu, kisah jodoh baru yang dikaitkan dengannya seakan-akan tidak pernah lekang.

Sekitar Ogos lalu, Vida dilaporkan sedang mengenali hati budi seorang jejaka berketurunan Eropah.

Dan terbaru, penyanyi I Am Me itu dituduh membela Ahmad Iqbal sebagai ‘anak ikan’ kerana kononnya menggunakan khidmat pemuda terbabit berdasarkan pakej rupa dan penampilan menarik dimilikinya.

Malah Vida dan Ahmad Iqbal juga didakwa sebagai pasangan kekasih.

Ahmad Iqbal yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu bekerja secara rasmi dengan Vida sejak Jun lalu.

Kena fikir panjang

Ahmad Iqbal diberi tanggungjawab mengendalikan media sosial, mengambil gambar serta video aktiviti yang berkaitan Vida.

Menurut Maznuni, sebelum ini dia berdepan pelbagai persoalan khususnya mengenai hubungan anak ketiganya itu dengan jutawan kosmetik berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Iqbal menyangkal dakwaan bahawa dia merapati Vida kerana cuba mengikis kekayaan janda anak dua itu.

Katanya, tidak guna hidup mengejar harta kerana apabila mati semuanya akan ditinggalkan.

“Tidak tahu bagaimana cara untuk luahkan bahawa kehadiran saya di sisi Datuk Seri Vida bukanlah kerana ingin mengambil kesempatan.

“Buat apa nak larikan hartanya kerana akhirnya kita mati jua. Hidup kita bukanlah lama. Biarlah dicerca jika dengan cara itu mereka berasa tenang,” katanya.

Biarpun dilempar dengan pelbagai tuduhan, Ahmad Iqbal berkata dia menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.

“Benar, kami sangat akrab walaupun tidak terlalu lama kenal. Namun, soal hati dan perasaan itu dalam hati. Kita tidak boleh menafikan. Tidak pula cepat membuat keputusan.

“Saya pun fikir panjang, untuk keluarga dan terutamanya untuk kebahagiaan dia. Pihak keluarganya tidak menggalakkan kami berkahwin, bukan hanya dengan saya malah dengan mana-mana lelaki pun disebabkan serik tiga kali perceraian,” katanya yang sudah setahun bekerja sebagai pembantu peribadi tidak rasmi kepada usahawan itu.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password