Helah tak menjadi Azam Baru 1, Azam Baru 2

Menggunakan nama bot dalam bahasa Melayu serta mengibarkan Jalur Gemilang adalah antara taktik terbaru nelayan asing untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka itu tidak berjaya apabila dikesan oleh peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Amran Daud berkata pihaknya menahan dua bot nelayan Vietnam ketika menangkap ikan sekitar perairan tersebut.

Dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini, Amran berkata kedua-dua bot itu masing-masing ditahan pada jarak 22 batu nautika di tenggara Tanjung Sedili pada pukul 12.05 tengah hari dan 12.28 tengah hari.

“Bot nelayan asing itu didaftarkan dengan nama Azam Baru 1 dan Azam Baru 2 membawa 23 kru termasuk tekong dan awak-awak yang berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun,” katanya.

Amran berkata bot terbabit didapati membawa muatan lebih kurang empat tan pelbagai jenis ikan dan dan dua tan ikan baja.

“Kami turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, kapal serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM450,000,” jelasnya.

Talian 24 jam

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen menangkap ikan serta beberapa awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kedua-dua bot itu ditahan dan ditunda ke Jeti Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan jika sabit kesalahan, setiap awak-awak kapal boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang manakala tekong atau nakhoda boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Ini adalah tangkapan kesembilan yang berjaya dilakukan oleh Daerah Maritim 7 bagi kes nelayan asing pada tahun ini.

“Kami akan melipatgandakan operasi mengesan, menahan, mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan undang-undang Malaysia dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Amran menyeru orang nelayan tempatan agar menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang pencerobohan nelayan asing.

Katanya mereka boleh menghubungi Pusat Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili yang dibuka 24 jam melalui talian 07-8916595.

Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password