Harapan baru jejaki pesawat MH370 yang hilang

 

Keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 berharap misi pencarian yang disambung semula dapat menjejaki pesawat yang hilang hampir empat tahun dan merungkai misteri kehilangannya.

Mereka juga berharap bahawa usaha pencarian MH370 tidak akan dihentikan sehingga pesawat tersebut ditemui.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mengumumkan bahawa pencarian MH370 akan disambung semula pada pertengahan Januari berikutan pemeteraian perjanjian antara Malaysia dan syarikat eksplorasi dasar laut dari Amefrika Syarikat, Ocean Infinity untuk mencari pesawat tersebut berdasarkan terma “no cure, no fee” yang bermakna pembayaran hanya dibuat jika pesawat tersebut ditemukan.

Misi utama kapal itu ialah mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan/atau kedua-dua perakam penerbangan; Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan (FDR).

Grace Nathan, seorang peguam dari Malaysia yang ibunya, Anne Daisy, ialah antara penumpang pesawat tersebut berkata dia mengharapkan semoga usaha yang akan dijalankan oleh pakar-pakar dan kru dalam menjejaki MH370 akan berjaya serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ocean Infinity kerana menawarkan terma ‘no cure, no fee’ kepada kerajaan. Saya juga gembvira bahawa keerajaan bersetuju supaya misi pencarian MH370 disambung semula. Pencarian harus diteruskan.

“Kami berharap pencarian ini melalui Ocean Infinity yang mempungai peralatan serba canggih dapat menjejaki MH370 dan mengakhiri episod sedih ini bagi kita semua,” kata beliau kepada Bernama hari ini ketika ditanya mengenai perkembangan terkini.

Seorang lagi waris, Calvin Shim, yang isterinya Christine Tan adalah pramugari dalam pesawat yang hilang itu berkata beliau masih berharap pesawat Boeing 777 itu ditemukan terutama dalam kitaran pertama 26 hari oleh Ocean Infinity.

“Ini kerana pencarian kitaran pertama didasarkan meliputi 25,000 kilometer persegi seperti dikaji semula mengikut Kajian Prinsip Pertama oleh Biro Kelamatan Pengangkutan Australia (ATSB). Menurut ATSB, 85 peratus kebarangkalian serpihan pesawat adalah di sana.

“Kedua, disebabkan tidak ada apa-apa ditemukan di kawasan pencarian awal 60,000 kilometer persegi dan kawasan pencarian seterusnya merangkumi 60,000 kilometer persegi, satu-satunya harapan kita ialah di kawasan ini. Jika tiada apa-apa ditemukan dalam kawasan 25,000 kilometer persegi, Ocean Infinity akan meneruskan pencarian selama 64 hari lagi dengan memperluaskan kawasan pencarian atas nasihat pasukan pakar,” kata beliau.

Sementara itu, Maira Elizabeth Nari, anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat malang itu, Andrew Nari berkata: “Hampir empat tahun. Secara jujur, saya menaruh harapan (dengan perkembangan terbaru). Semoga berjaya dalam misi ini”.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 orang, hilang dari skrin radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Ma 8, 2014. Australia, Malaysia, dan China secara bersama menggantung usaha mencari di dasar laut bagi pesawat tersebut pada Januari tahun lepas.

Tiada tanda-tanda pesawat tersebut ditemukan di kawasan pencarian meliputi 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Hanya tiga serpihan yang disahkan dari MH370 ditemukan dan kesemua serpihan itu ditemukan di pantai barat Lautan Hindi termasuk serpihan bahagian sayap atau flaperon sepanjang 2 meter.

Shin Kok Chau, suami penumpang MH370 Tan Ser Kuin, yang hadir pada upacara menandatangani MoU itu di Kementerian Pengangkutan semalam, terus menaruh harapan tinggi pesawat itu akan ditemukan dan sekali gus merungkai misteri yang masih menghantuinya sekeluarga.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana tidak berputus asa untuk mencari pesawat berkenaan dan terus memberi sokongan serta maklumat berkaitan MH370.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan semua kementerian serta agensi yang terlibat dengan usaha baharu mencari MH370 ini dan empat tahun lepas.

“Berita ini memberi rasa lega kepada saya sekeluarga. Saya berharap pasukan operasi ini akan berjaya menemukan sesuatu untuk memberi penjelasan muktamad kepada kami,” kata Shin, 42, kepada pemberita selepas upacara itu.

Pertengahan bulan lepas, Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity, sebuah syarikat penerokaan dasar laut, telah menandatangani perjanjian untuk mencari pesawat yang hilang itu dan di bawah perjanjian berkenaan, kapal Seabed Constructor akan membuat pencarian di kawasan 25,000 km persegi dalam masa 90 hari.

Pencarian itu dilakukan atas dasar ‘no cure, no fee,’ yang bermakna, bayaran akan hanya diberi apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan pihak ketiga.

Berkongsi sentimen serupa, V. P. R. Nathan, yang isterinya, Anne Daisy menaiki pesawat berkenaan yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, berkata memang sukar untuk menerima hakikat, tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada keluarga terlibat dan penerbangan mereka.

“Kami tidak menetapkan sebarang sasaran, kami hanya ingin mendapatkan penjelasan dan ingin tahu apa yang telah berlaku. Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana tidak menutup harapan kami serta tidak berputus asa untuk mencari MH370, dan kepada Ocean Infinity atas inisiatifnya menggunakan teknologi dan perbelanjaan sendiri untuk mengesan bangkai pesawat berkenaan. Sudah empat tahun kami menderita, tanpa mendapat sebarang petunjuk tentang kejadian itu,” katanya.

Jacquita Gonzales pula masih menaruh harapan agar Patrick Gomes, buah hatinya semasa zaman kanak-kanak, yang kemudian menjadi suaminya dan ketua pramugara dalam pesawat malang itu, akan pulang ke rumah suatu hari nanti.

– Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password