Drama Pesan Dari Tuhan ungguli anugerah ASK 2017

Drama Pesan Dari Tuhan karya terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd menepati ramalan apabila mengungguli malam Anugerah Skrin (ASK) 2017 sebagai Drama Terbaik pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

Ia bersaing sengit dan mengatasi drama antaranya Terima Kasih Ramadan dan Kapcai Ayah.

Pesan Dari Tuhan terbitan produksi Erma Fatima itu turut membolot tiga lagi anugerah iaitu Lakon TV Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Remy Ishak) dan Pengarah Terbaik Drama (Erma Fatima).

Hasnul Rahmat menerusi drama Kapcai Ayah dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Sebelum ini Hasnul pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada ASK 2013.

Pelakon Wanita Terbaik Drama menjadi milik Fasha Sandha menerusi Terima Kasih Ramadan terbitan ZK Creative Sdn Bhd. Ini adalah anugerah kesembilan yang pernah dimenangi aktres ini sepanjang bergelar anak seni.

Manakala Azizah Mahzan pula menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi drama Terima Kasih Ramadan.

Filem Terbaik digenggam oleh Uwei Saari menerusi Hanyut yang berdepan cabaran tujuh tahun sebelum diterbitkan tahun ini.

Hanyut yang bertanding atas tiket filem turut berbangga apabila membawa pulang anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik (Uwei Saari), Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Diana Danielle) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Khalid Salleh).

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem dimenangi Khir Rahman yang mengalahkan nama-nama berbakat seperti Zahiril Adzim (Pekak) dan Adi Putra (Interchange).

Manakala Sangeetha Krishnasamy muncul sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Adiwiraku. Ini adalah kejayaan ketiga Sangeetha dalam kategori pelakon wanita terbaik selepas Festival Filem Malaysia ke-29 dan Anugerah Pengkritik Filem 2017.

Drama Rantaian Terbaik pula dibawa pulang My Sweet Lavender (TV9) oleh produksi Orange Tree Sdn Bhd.

Dan Drama Rantaian Popular Media Sosial yang yang diadili menerusi undian dimenangi Pergilah Air Mata.

Senarai penuh pemenang ASK
1. Drama Terbaik: Pesan Dari Tuhan

2. Pengarah Terbaik Drama: Erma Fatima – Pesan Dari Tuhan

3. Lakon TV Terbaik: Pesan Dari Tuhan – Rumah Karya Citra Sdn Bhd: Erma Fatima

4. Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Hasnul Rahmat – TV9: Kapcai Ayah

5. Pelakon Wanita Terbaik Drama: Fasha Sandha – TV3: Terima Kasih Ramadan)

6. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Remy Ishak – Pesan Dari Tuhan

7. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Azizah Mahzan

8. Drama Rantaian Terbaik: My Sweet Lavender

9. Pelakon Komedi Terbaik: Ellie Suriaty – Papa Sayang

10. Drama komedi Terbaik: TV3: Budak Ijat – Radius One Sdn Bhd

11. Rancangan Majalah Terbaik (TV3: Misi-K 2016 – Misi Kemanusiaan Pulau Cebu Filipina)

12. Rancancan Realiti Terbaik: TV3 Mentor Milenia 2017 Akhir

13. Rancangan Anugerah Terbaik: TV3: Anugerah Juara Lagu 31

14. Filem Terbaik: Hanyut

15. Lakon Layar Terbaik: Hanyut – Uwei Saari

16. Pengarah Terbaik Filem: Uwei Saari – Hanyut

17. Pelakon Wanita Terbaik Filem: Sangeetha Krishnasamy – Adiwiraku

18. Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Khir Rahman – Rock Bro

19. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Khalid Salleh

20. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Diana Danielle



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password