Diari ‘hari terakhir’ John Lennon ditemui

Sejumlah barangan peribadi milik legenda muzik John Lennon, termasuk diari yang ditulis di hari kematiannya, dipercayai dicuri dari balunya Yoko Ono pada tahun 2006 akhirnya ditemui di Berlin, Ahad lalu.

Polis Berlin menemui sejumlah 86 barang yang dicuri, antaranya tiga diari dan cermin mata, milik ahli kumpulan The Beatles itu dalam kereta seorang lelaki, yang turut ditahan polis.

“Diari ini mengandungi catatan yang pada pagi (hari kematiannya) John Lennon dan Yoko Ono mengadakan pertemuan dengan (jurugambar) Annie Lebovitz untuk mengambil gambar yang kemudiannya terkenal di seluruh dunia,” kata pendakwa Michael von Hagen, seperti dilapor Reuters.

Gambar tersebut yang menunjukkan Lennon yang memeluk Ono di atas katil dan dijadikan kulit depan majalah Rolling Stone edisi Januari 1981.

Lennon meninggal dunia di New York pada 8 Disember 1980, ketika berusia 40 tahun, selepas ditembak empat kali di bahagian belakang oleh Mark David Chapman, ketika dia dan Ono dalam perjalanan pulang ke apartmen mereka.

Hagen pada masa sama menolak kebarangkalian yang Ono bertanggungjawab menyerahkan barang peribadi mendiang suaminya itu kepada orang lain.

“Terutama diari itu…dianggap sebagai suatu yang suci (berharga) oleh Ono. Dan tanggapan yang dia memberikan tiga diari asal, terutama yang (memuatkan tulisan) di hari kematiannya, boleh diketepikan,” katanya

Sementara itu, ketua bahagian jenayah harta benda polis Berlin Carsten Pfohl berkata mereka turut menemui sebingkai cermin mata dan resit tertera nama Lennon, yang disembunyikan di dalam bonet kereta tertuduh.

Katanya, polis mengesyaki barang terbabit dicuri bekas pemandu Ono, yang dilarikan ke Turki sebelum dibawa ke Berlin sekitar 2013-2014.

Menurut laporan itu lagi, polis Berlin dimaklumkan tentang barangan tersebut selepas ia ditemui pekerja sebuah syarikat bidaan yang telah muflis.

Syarikat itu menilai barangan tersebut pada harga 3.1 juta euro (RM15 juta).



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password