“Dia Pulang Sendiri Ke Rumah Keluarganya Dan Pakai Pakaian Yang Dibawa Bersama Pada Hari Tersebut,” Penuntut Universiti Hilang Akhirnya

"Dia Pulang Sendiri Ke Rumah Keluarganya Dan Pakai Pakaian Yang Dibawa Bersama Pada Hari Tersebut," Penuntut Universiti Hilang Akhirnya

 

Penantian selama 12 hari keluarga seorang pelajar universiti swasta yang hilang akhirnya ternoktah apabila pemuda itu kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Suasana bertukar hiba apabila seisi keluarga yang baru selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah melihat Wan Muhammad Muizzudin Wan Mohd Khalid, 19, membuka pintu lalu memeluk ibu dan neneknya pada Rabu.

Abangnya, Wan Muhammad Khalis Wan Mohd Khalid, 22, berkata, mereka sekeluarga berasa terkejut dengan kepulangan adiknya, namun tetap gembira dan bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku terhadap pelajar tersebut.

“Mereka bertiga (adik, ibu dan nenek) menangis dan Muiz meminta maaf kepada mak.

“Muiz cakap dia ke Johor untuk bersendirian,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Kata Wan Muhammad Khalis, dia berulang-alik ke Johor mencari adiknya berdasarkan petunjuk yang diperoleh daripada transaksi bank yang dibuat adiknya sepanjang tempoh ‘kehilangannya’ sejak 16 Mac lalu.

Wan Muhammad Khalis bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci tentang punca adiknya mengasingkan diri daripada keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan mengesahkan perkara itu dan berkata, Wan Muhammad Muizzudin dilaporkan pulang dengan memandu kereta yang dinaikinya pada hari kejadian.

“Dia pulang sendiri ke rumah keluarganya dan pakai pakaian yang dibawa bersama pada hari tersebut,” katanya ketika kepada mStar Online.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca Wan Muhammad Muizzudin meninggalkan kediaman keluarganya sehingga menyebabkan laporan polis tentang kehilangan pelajar berusia 19 tahun itu dibuat pada 17 Mac.

Pada 21 Mac lalu, mStar Online melaporkan Wan Muhammad Muizzudin, tidak pulang sejak keluar dari rumah tanpa ditemani sesiapa pada pukul 10 pagi hari tersebut.

Abangnya, Wan Muhammad Khalis memberitahu bahawa Wan Muhammad Muizzudin memaklumkan ingin keluar menonton wayang kepada ibu mereka, namun jirannya terlihat pemuda tersebut memandu kereta menghala ke Johor.

Wan Muhammad Khalis memuat naik mengenai berita kehilangan adiknya itu di Instagram sebagai ikhtiar untuk mencari remaja tersebut.

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password