Dedikasi terbukti, naikkan gaji bomba setaraf dengan polis


Di sebalik tragedi kemalangan di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Oktober lalu, saya bagi pihak rakyat Tanjung Bungah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Mereka menunjukkan dedikasi dan kerja yang tidak mengenal putus asa.

Usaha mereka yang berterusan selama 48 jam telah memungkinkan kesemua mayat mangsa dikeluarkan walaupun tertimbus dalam runtuhan yang begitu besar.

Seramai lebih kurang 200 anggota bomba telah berkampung di kawasan kemalangan siang dan malam dengan membentuk tiga kumpulan yang bekerja secara bergilir-gilir bagi membolehkan operasi penyelamatan dilakukan 24 jam tanpa henti.

Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan daripada lima buah balai bomba, iaitu Bagan Jermal, Prai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Kepala Batas atas komitmen mereka dalam menghadapi situasi mencabar ini.

Pada masa yang sama, operasi ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan daripada pasukan ibu pejabat dari Putrajaya serta pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team), pasukan STORM (Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia) dan unit pengesan (K9) yang telah menyumbang kepakaran mereka.

Tidak dilupai juga pasukan-pasukan bomba sukarela yang telah membantu dalam operasi.

Semua warga bomba telah sekali lagi membuktikan bahawa mereka merupakan pasukan dengan kepakaran teknikal yang serba boleh dan mampu menghadapi apa juga cabaran.

Operasi ini tidak mudah apabila terdapat banyak cerucuk besi dan batuan yang melambatkan usaha mencari dan menyelamat.

Mujur, dengan kepakaran pasukan bomba, segala cabaran dapat diatasi dalam masa yang singkat.

Walaupun senantiasa berhadapan dengan risiko yang amat tinggi, khususnya semasa kebakaran atau operasi penyelamatan dalam keadaan tanah runtuh dan sebagainya, pengorbanan pegawai-pegawai bomba seringkali tidak diiktiraf.

Ini jelas terbukti apabila skim perkhidmatan mereka dianggap lebih rendah tarafnya berbanding angkatan tentera dan polis.

Tragedi ini sudah tentunya amat sukar buat semua yang terlibat, khususnya keluarga mangsa. Sekurang-kurangnya, kita boleh berbangga dengan tekad dan keberanian yang ditonjolkan oleh pasukan bomba.

Oleh yang demikian, saya ingin mengulangi cadangan yang pernah saya buat di parlimen sebelum ini, untuk menyelaraskan skim gaji anggota bomba agar setaraf dengan pasukan polis.

Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab pasukan bomba secara lazimnya mendedahkan mereka kepada risiko tinggi dan keadaan yang amat sukar dan bahaya.


ZAIRIL KHIR JOHARI anggota parlimen Bukit Bendera merangkap penolong setiausaha publisiti DAP.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password