Dan muncullah satu lagi ‘Jagat’

FILEM | Kisah dilema dan keperluan membuat pilihan antara cinta dan cita-cita bukan suatu tema yang asing dalam filem tempatan, termasuk filem Tamil.

Bagaimanapun, saya mendapati Sughamaai Subbulakshmi mengungkapkan tema cinta dari sudut yang agak berbeza. Perasaan cinta, persahabatan dan impian mencapai cita-cita disajikan menerusi kehidupan watak-watak utama pada usia yang berbeza.

Saya mendengar cakera padat (CD) lagu-lagu filem Sughamaai Subbulakshmi secara berulang-ulang selama sekitar 3 jam dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Kuala Lumpur pada awal pagi 19 Mac 2018.

Sebagai seorang individu yang amat kritis terhadap lagu-lagu Tamil tempatan, saya meneliti aspek lirik, muzik, nyanyian, suara, penghayatan, kejuruteraan muzik dan sebagainya. Saya amat berpuas hati dengan kesemua enam lagu dalam filem ini!

Seterusnya, juga pada 19 Mac 2018, saya berpeluang menonton sepenuhnya filem Sughamaai Subbulakshmi di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Dalam masa 10 minit sahaja, filem ini berjaya membuatkan saya sedar akan mutu tinggi yang dimilikinya.

Sebagai seorang penulis, perunding media, peminat filem dengan latar belakang pengajian media, seni persembahan dan perfileman, saya tahu apabila saya berdepan dengan sebuah filem bermutu.

Tambat hati pelbagai umur

Filem arahan Karthik Shamalan ini menggabungkan aspek kasih-sayang, persahabatan, cinta, dilema, hubungan kekeluargaan, penderitaan, komedi dan sebagainya yang merupakan perkara-perkara yang kita alami dalam kehidupan seharian, tanpa mengira kaum dan agama.

Namun, kesemuanya tidak dipaparkan secara paksaan. Sebaliknya, dianyam kemas secara seadanya (bukan secara berlebih-lebihan) sehingga menjadikan filem Sughamaai Subbulakshmi sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Jangan lupa membawa tisu apabila anda pergi menonton filem ini bersama-sama orang tersayang – sama ada rakan, kekasih, atau ahli keluarga – apabila filem ini memulakan tayangan di pawagam seluruh negara pada 17 Mei 2018!

Golongan remaja pasti menyukai filem ini kerana ia berkisar tentang kehidupan mereka. Peminat sukan akan menghargai filem ini kerana ia memberikan suntikan semangat kepada mereka.

Golongan graduan (lepasan universiti/kolej) akan memahami filem ini kerana ia membawakan kisah mereka. Golongan ibu bapa akan menghargai filem ini kerana ia membuka ruang untuk berkomunikasi dengan anak-anak secara lebih terbuka.

Malah, golongan warga emas (nenek dan datuk) pasti tersentuh emosi mereka kerana akhirnya ada filem Tamil tempatan yang bercerita tentang mereka.

Ringkasnya, pada pandangan saya, masyarakat pelbagai kaum, pelbagai latar belakang dan latar budaya, serta pelbagai corak pemikiran pasti terhibur menonton Sughamaai Subbulakshmi.

Atasi mutu filem Jagat

Saya pernah menonton filem Tamil pertama yang masuk pawagam di Malaysia, iaitu Naan Oru Malaysian (1991) arahan Pansha (Panchacharam Nalliah). Selepas itu, filem yang berjaya menambat hati dan minda saya adalah Jagat (2015) arahan Shanjhey Kumar Perumal.

Filem Jagat dan Sughamaai Subbulakshmi berada dalam genre yang berbeza. Selepas menonton Jagat pada Disember 2015, saya berfikir bahawa kita perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk melihat kemunculan sebuah filem Tamil tempatan yang mampu mengatasi – atau menyamai – mutunya.

Kini, saya boleh berkata bahawa Sughamaai Subbulakshmi sudah muncul untuk membuktikan bahawa mutu filem Tamil tempatan sudah meningkat beberapa anak tangga lagi!

Bagi filem Jagat (atas), Shanjhey sendiri mengatakan bahawa khalayak kaum India kurang memberikan sokongan. Katanya, “You [Indians] were busy with Kollywood films. It’s the non Indian audience who watched Jagat till the 9th week” (Facebook, 10 Ogos 2016) dan “sambutan penonton bukan India melebihi kaum India sendiri” (Kaki Sinema, 25 Februari 2018).

Bagi filem Sughamaai Subbulakshmi pula, Karthik Shamalan selaku penulis skrip dan pengarah, Datuk Murugan Alimuthu selaku penerbit, serta seluruh krew sedar, yakin dan mahu supaya filem ini sampai kepada khalayak pelbagai kaum di Malaysia.

Kita boleh melihat Sughamaai Subbulakshmi sebagai sebuah “filem Malaysia” – Sebuah filem yang mampu mengangkat mutu filem tempatan.

Menang Anugerah di Norway

Panjang filem ini sekitar 2 jam 25 minit. Khalayak penonton pelbagai kaum di Malaysia sudah biasa menonton filem panjang seperti itu – khususnya filem-filem Tamil dan Hindi dari India.

Maka, panjang filem Sughamaai Subbulakshmi tidak menjadi isu. Pada penelitian saya, tidak ada perkara yang sengaja dipanjang-panjangkan dalam filem ini.

Nothing overstays in Sughamaai Subbulakshmi. Sama ada watak/pelakon, dialog, lagu, komedi atau babak-babak yang dipaparkan adalah seadanya. Tidak ada apa-apa yang meleret-leret.

Lagu-lagu menggerakkan cerita. Dialog menggerakkan cerita. Ekspresi muka dan mata menggerakkan cerita. Malah, ada satu watak yang hanya duduk di katil – tetapi mampu membuatkan anda mengalirkan air mata!

Watak Velan @ Velu @ V7 lakonan Saresh sentiasa bermuka selamba; berbanding rakan baiknya, Barathiraja lakonan Kuben Mahadevan. Saya percaya, hal ini disengajakan. Tidak perlulah watak hero turut menjadi pelawak, seperti yang kita tonton dalam kebanyakan filem.

Saya juga faham mengapa Punitah Shanmugam menerima anugerah pelakon wanita terbaik dalam Festival Filem Tamil Norway 2018. Matanya mampu bercerita dan mengalirkan emosi dari layar ke dalam hati penonton.

Karthik pula menerima anugerah pengarah filem terbaik dalam Festival Filem Tamil Norway 2018 menerusi filem ini. Pemuda berkenaan mula aktif dalam bidang perfileman sejak tujuh tahun lalu menerusi filem pendek Muthal Naal Indru yang menerima sembilan pencalonan, dan menang dua anugerah dalam BMW Shorties.

Sesuai bagi pelbagai kaum

Filem Melle Thiranthathu Kathavu membuktikan kemampuan Karthik sebagai penulis lakon layar dan pengarah. Filem The Farm: En Veettu Thottathil (2017) menerima lima pencalonan, dan menang lima anugerah dalam pelbagai pesta filem antarabangsa.

Gabungan Shameshan Mani Maran dan Neroshen Thanaseharan sebagai penggubah muzik menjadikan filem Sughamaai Subbulakshmi lebih menarik untuk dinikmati.

Antara lagu terkenal yang menerima sentuhan magis Shameshan adalah “Ennulley Ennulley”, “Azhagana JB Ponnu” dan “Adai Mazhai”.

Neroshen pula dikenali menerusi lagu-lagunya dalam filem Mayanggathey, serta lagu “Vittu Ponadi” dan “Naan Unnai Kaathalittal”.

Satu lagi keistimewaan filem ini adalah gabungan tenaga anak-anak muda berumur antara 19 dan 29 tahun. Mereka berusaha memecah tradisi filem Tamil tempatan yang selama ini dianggap membosankan.

Kebanyakan dialog dalam filem Sughamaai Subbulakshmi menggunakan Bahasa Tamil, tetapi sari kata Bahasa Malaysia pasti membantu khalayak pelbagai kaum untuk turut menikmatinya.

Saya dapat membayangkan bahawa khalayak mungkin ketawa dan mengalirkan air mata di pawagam, tetapi akan keluar dengan gembira, puas dan bersemangat apabila filem ini mula ditayangkan pada 17 Mei 2018.


UTHAYA SANKAR SB merupakan penulis dan peminat filem. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.my mengenai pelbagai isu yang menyentuh mindanya.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password